Biarpun pernah ‘mengharamkan’ beberapa aplikasi media sosial yang berasal dari negara Barat, pengaruh media sosial di China sememangnya memainkan peranan penting 1.4 bilion penduduknya.
Segala tindak-tanduk, ayat dan status yang dimuat naik oleh para selebriti berkelas A di China pada laman media sosial masing-masing pastinya akan mendatangkan impak positif mahupun negatif secara menyeluruh dalam kalangan penduduk di sana.
Disebabkan itulah, sebilangan selebriti di China lebih memilih untuk tidak berkata-kata secara semberono di media sosial kecuali apabila perlu sahaja demi memastikan kata-kata mereka itu tidak memakan diri sendiri.
Sebagai contoh, aktres Zhao Wei dan YouTuber terkenal, Li Ziqi pernah dilaporkan ‘hilang’ dan ‘senyap’ secara tiba-tiba. Ramai mempercayai ia kesan daripada perbuatan mereka di media sosial sebelum itu.
Zhao Wei yang popular dengan drama My Fair Princess sebelum ini merupakan pelakon yang bernilai berjuta-juta Yuan dan memiliki berjuta orang peminat setia. Namun, Beijing bertindak untuk ‘melenyapkannya’ daripada radar internet negara itu disebabkan oleh beberapa skandal yang dihadapi olehnya dan syarikat miliknya. Hasilnya, seolah-olah dirinya tidak pernah wujud.
Terbaru, seorang lagi individu terkenal dari China berdepan isu yang sama. Ia tidak lain tidak bukan ialah bintang tenis negara republik tersebut bernama Peng Shuai.
Hal ini setelah pemain berusia 35 tahun itu membuat penuduhan serangan seksual yang pernah dilakukan seorang bekas pegawai tertinggi kerajaan China.
Bekas pemain tenis beregu wanita pertama China ini dahulunya membuat hantaran di laman sosial China dan mendakwa bekas Naib Perdana Menteri China, Zhang Gaoli pernah memaksanya secara seksual sebanyak dua kali.
Setelah ura-ura yang mengatakan bintang tenis itu dalam bahaya, satu kenyataan yang dikatakan mewakili Peng berkata dirinya kini selamat dan segala ura-ura itu adalah tidak benar. “Saya cuma telah berehat di rumah dan semuanya baik-baik saja.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh ‘Peng Shuai’ itu bagaimana menimbulkan tanda tanya dan dikatakan adalah palsu. Seperti yang disebut oleh pengerusi dan CEO Women’s Tennis Association (WTA) iaitu Steve Simon, kenyataan itu hanya menimbulkan lebih kegusaran ke atas keselamatan dan di mana sebenarnya lokasi Peng sekarang.
Jelas Simon, beliau telah menerima jaminan dari kerajaan China bahawa atlet tersebut selamat. Begitupun tiada sesiapa dari pihak WTA dapat menghubunginya untuk mengesahkan perkara tersebut.
Sementara itu, bintang tenis Amerika Syarikat Serena Williams yang merupakan rakan kepada Peng berkata dia, “Sedih dan terkejut,” dengan kes yang menimpa pemain tenis China itu apabila keberadaannya masih menjadi misteri dan menimbulkan kebimbangan pengikut sukan tenis antarabangsa.
Di Twitter, Serena meluahkan rasa khuatirnya sambil menyertakan tanda pagar #WhereIsPengShuai.
“Saya harap dia selamat dan kita semua tidak harus senyap.”
Sebelum ini China dikatakan sedang menghasilkan satu undang-undang untuk mengawal pengaruh media sosial apabila seseorang bersuara menentang kerajaan.
Akta ini adalah sebahagian daripada kempen Parti Komunis dengan menyasarkan entiti swasta. Kononnya, dsebanyak 10,000 akaun media sosial telah dipadam pada tahun 2018 saja dan mungkin lebih banyak akaun lain yang dipadam sepanjang tiga kebelakangan ini.
Untuk pengetahuan, Peng merupakan bekas pemain beregu nombor satu dunia yang pernah memenangi dua gelaran Grand Slam iaitu pada Wimbledon 2013 dan kejohanan Terbuka Perancis 2014 bersama pemain Taiwan, Hsieh Su-wei.
Selain Serena, atlet lain seperti Naomi Osaka, Jessie Pegula, Jennifer Brady dan Gerard Pique turut meluahkan rasa sedih mereka terhadap kes ini.