Dihormati oleh rakyat Jepun sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat di negara matahari terbit itu, Shinzo Abe telah ditembak ketika sedang memberikan ucapan pada satu majlis berkempen di bandar Nara, barat Jepun, pada jam 11.30 pagi waktu tempatan, hari ini.
Abe, 67 dilaporkan rebah dalam keadaan berdarah setelah satu bunyi seperti tembakan kedengaran di kawasan lapang tersebut dan terus dikejarkan ke hospital berdekatan menggunakan helikopter.
Buat masa ini, Abe dikatakan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mungkin sekali mengalami serangan jantung. Begitupun, keadaan sebenarnya masih belum dapat dipastikan.
Seorang suspek lelaki berusia 42 tahun telah ditahan di lokasi kejadian. Beliau dikenali sebagai Tetsuya Yamagami dari Nara dan merupakan bekas ahli pasukan pertahanan diri maritim.
Menurut seorang wartawan stesen penyiaran NHK yang bertugas di lokasi, mereka terdengar bunyi dua das tembakan berturut-turut semasa Abe sedang berucap di kempen pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada 10 Julai, hujung minggu ini.
Khabarnya, kesemua anggota kabinet yang sedang berkempen atau sedang membantu proses kempen telahpun diarahkan pulan ke Tokyo dengan segera. Sementara itu, kerajaan Jepun pula sedang meneliti insiden tersebut dan dipercayai sedang menyelaras tindak balas.
Shinzo Abe mencatat rekod sebagai Perdana Menteri Jepun paling lama berkhidmat sejak tahun 2006 hingga 2022. Terdahulu pada usia 52 tahun, beliau juga mencatat rekod merupakan Perdana Menteri termuda pernah dilantik di Jepun.
Abe dikenali sebagai individu bercita-cita tinggi dalam membantu reformasi ekonomi Jepun (popular dengan gelaran Abenomics) dan berjaya membentuk hubungan diplomatik penting bagi negara itu.
Abe melepaskan jawatan hampir dua tahun lalu disebabkan masalah kesihatan pada usia 65 tahun.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.