Bekas Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Pernah Jadi Ejen KGB, Ditangkap Tiga Hari Sebelum Beliau Jadi Perdana Menteri

Share

Ketika ini kecoh di media sosial mengenai berita penangkapan ejen Mossad yang merupakan sebuah agensi perisikan negara Israel. Paling mengejutkan tertuduh ditangkap yang merupakan warganegara Malaysia dipercayai direkrut oleh agensi tersebut untuk menjalankan tindakan seperti yang diarah.

Kejadian cuba menculik dua warga Palestin yang kini menetap di Malaysia menjadi titiktolak kepada terbongkarnya rangkaian ejen Mossad yang aktif di Malaysia. Namun tahukah anda, sebelum ini seorang rakyat Malaysia juga pernah ditangkap kerana menjadi ejen perisik negara asing?

Dia ialah Siddiq Mohamad Ghouse yang merupakan setiausaha politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad selama tujuh tahun ketika bekas Perdana Menteri Malaysia itu bergelar Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri. Siddiq merupakan pengasas UMNO bahagian Ampang Jaya dan pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua UMNO Sungai Petani.

Kes tersebut menjadi perhatian umum apabila Siddiq ditangkap pada 13 Julai 1981, tiga hari sebelum Tun Dr. Mahathir diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Memetik laporan Utusan Malaysia, dia terlebih dahulu dibuang kerja beberapa hari sebelum ditangkap dan ditahan sebagai tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Perisikan yang dijalankan pihak Polis Cawangan Khas mendapati ejen KGB selalu menemui Siddiq di kawasan gelap pada waktu malam, sesetengah pertemuan itu dibuat dalam kereta Siddiq sendiri.

Seiring dengan penangkapan Siddiq, semestinya isu tersebut menjadi satu perkara yang dibimbangi boleh menggangu gugat keamanan negara lantaran penglibatannya sebagai ejen perisik KGB. Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, KGB merupakan sebuah agensi perisikan yang dimiliki oleh kerajaan Soviet Union sebelum kesatuan itu berpecah menjadi beberapa buah negara pada 1991.

Menurut laporan daripada keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 Julai 1981 pula, seiring dengan penangkapannya, tiga orang pegawai Kedutaan Soviet di Kuala Lumpur telah diarahkan keluar negara pada hari tersebut sebelum pukul 12.30 tengahhari. Pengusiran tiga pegawai tersebut merupakan kejadian pertama seumpamanya yang berlaku di negara ini.

Namun penglibatan Siddiq sebagai ejen KGB bukanlah baru diketahui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika itu. Beliau sudah menghidu kegiatan Siddiq sejak 1979, namun beliau mengambil keputusan untuk mengekalkan Siddiq sebagai pekerjanya bagi memudahkan pihak polis membuat siasatan menyeluruh dan mengutip bukti-bukti terhadap Siddiq dan juga ejen-ejen Soviet.

Walau bagaimanapun, Tun Dr. Mahathir ketika itu menjelaskan keselamatan negara tidak terjejas memandangkan apa yang dilakukan Siddiq tidak ada yang berguna bagi ejen-ejen Soviet. Ini kerana dia tidak dibenarkan memegang dokumen berdarjah ‘rahsia besar’ negara ketika bertugas sebagai Setiausaha Politik.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: (1)

 

Published by
Fiezreen