
Bekas Setiausaha Akhbar kepada mantan Perdana Menteri Malaysia kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan beliau sebagai seorang insan yang amat penyabar.
Selama lebih enam tahun berkhidmat dengan Tun Abdullah yang mesra dengan panggilan Pak Lah itu, Izad Raya yang ditemui rakan media di Astro Awani berkata, dia tidak pernah melihat reaksi amarah terpancar pada wajah Allahyarham. Sebaliknya, beliau memilih untuk berdiam diri sekiranya dihambat emosi.
“Hakikat(nya), beliau merupakan seorang insan yang sangat penyabar. Sepanjang berkhidmat selama lebih enam tahun, saya tidak pernah melihat Pak Lah marah, meninggi suara apatah lagi bertempik atau sebagainya.
“Tun Abdullah atau Pak Lah sekiranya marah akan lebih mendiamkan diri. Mungkin riak mukanya akan berubah tetapi tidak pernah meningkat, menaikkan suara, menjerit jauh sekali.
“Saya rasa saya pernah berkhidmat dengan beberapa ahli politik dan Tun Abdullah saya akan labelkan sebagai insan yang paling mulia hatinya. Bersih,” katanya memperingati momen dalam kerjaya profesionalnya bersama Allahyarham.

Jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad pada masa ini telah tiba di Masjid Negara Kuala Lumpur untuk sesi penghormatan terakhir oleh pemimpin negara dan orang ramai di Dewi Solat Masjid Negara.
Jenazah Allahyarham Tun Abdullah dijadualkan bakal dikebumi di Makam Pahlawan, Masjid Negara selepas selesai solat Zohor pada tengah hari ini.
Semalam, kerajaan memutuskan Allahyarham Tun Abdullah akan diberikan penghormatan ‘Istiadat Pengebumian Negara’ selepas beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam tadi pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
SUMBER: Awani
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.