Belajar Dari Rumah Punca Semakin Ramai Pelajar Gagal Subjek Sekolah

Share

 

Situasi pandemik semasa telah mengakibatkan pelajar di kebanyakan negara di seluruh dunia dipaksa belajar secara atas talian di rumah.

Salah siapakah sekiranya keputusan peperiksaan pelajar mencatatkan peningkatan gred F ataupun gagal dalam kebanyakan mata pelajaran?

*

Tahun 2020 jelas merupakan tahun yang sukar buat pelajar di sekolah.

Di Malaysia saja, pelajar terpaksa mengharungi proses ‘naik turun’ sekolah mengikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Nak marah pun tak boleh, kerajaan hanya mengeluarkan arahan tersebut demi menjaga kebajikan dan keselamatan pelajar apabila sesebuah kawasan mencatatkan peningkatan kes Covid-19.

Dek perubahan masuk-keluar sekolah ini, pelajar sukar untuk menumpukan perhatian terhadap penyampaian subjek. Ia sekaligus memberi efek kepada pelajar terutama pada markah kertas ujian mereka.

Bukan itu saja, ada pelajar yang dilaporkan mengalami rasa anxiety, depresi dan keseorangan apabila perlu berhadapan dengan tekanan pembelajaran seorang diri di rumah.

Situasi yang sama nampaknya dilalui oleh pelajar sekolah di Amerika Syarikat.

Menurut laporan The Washington Post hari ini, sekolah di negara Uncle Sam itu sudah kembali memulakan tahun akademik mereka seperti biasa pada musim luruh ini. Apa yang mencuri perhatian ramai adalah apabila ujian pertama selepas sekolah dibuka menyaksikan peningkatan pelajar yang memperolehi gred F ataupun gagal.

Sumber Foto: The Odyssey Online

Di Maryland, kegagalan dalam subjek, Matematik dan Bahasa Inggeris meningkat 6 kali ganda.

Di Texas pula, ada daerah yang melaporkan hampir separuh daripada pelajar di sekolah pertengahan dan sekolah tinggi sekurang-kurangnya gagal dalam 1 subjek yang mereka ambil.

Situasi yang seakan sama berlaku di North Carolina apabila 46 peratus pelajar sekolah rendah sekurang-kurangnya gagal dalam 1 subjek. Jumlah ini adalah 2 kali ganda berbanding waktu yang sama, tahun lalu.

Akhir sekali di negeri California yang menyaksikan peningkatan jumlah pelajar yang gagal dalam 1 subjek; iaitu dari 19.7 peratus tahun lalu kepada 29 peratus tahun ini.

*

Seperti tenaga pengajar di Malaysia, guru di Amerika Syarikat juga sedang berdepan rasa takut sekiranya pelajar mereka akan terus berdepan dengan penurunan kualiti dari segi pembelajaran.

Sumber Foto: Pexels

Kegagalan yang pelajar alami ini juga akan ‘mengancam’ peluang pelajar ke universiti terkemuka berstatus Ivy League di sana. Kebanyakan universiti tidak akan menerima permohonan jika pelajar gagal dalam mana-mana subjek di dalam tranksrip mereka.

Ramai yang mencadangkan sekiranya sistem gred ini diketepikan buat sementara waktu ketika musim pandemik kerana ia tidak relevan dengan kemampuan tenaga pengajar menyiapkan pelajar mereka untuk berdepan ujian.

Ini kerana ada saja pelajar yang tidak mempunyai kemudahan pembelajaran yang kondusif di rumah seperti ketiadaan talian internet.

*

Sebagai pelajar, adakah korang bersetuju dengan cadangan ini?

Published by
FZ