Belasungkawa: Pengerusi FDAM, Mat London Hembuskan Nafas Terakhir Akibat Jangkitan Kuman Pada Usia 74 Tahun

Share

 “Sesungguhnya dari Allah kita datang dan sesungguhnya kepada-Nya jua kita kembali.” [Al-Baqarah: 155-156]

Ahmad Ibrahim yang dikenali sebagai Mat London, penerbit dan pengarah terkenal telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 74 tahun akibat pelbagai komplikasi penyakit di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Lumpur (HKL), pukul 5.57 pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Rohana Jalil Meninggal Dunia Pada Usia 68 Tahun

Khabar pemergian Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) itu disahkan oleh anaknya, Salmany Akir Ahmad menerusi laman Facebook.

“Sesudah laungan azan subuh papa menghembuskan nafas terakhir di hening pagi yang masih sepi di pagi Jumaat,” jelasnya.

Anak lelaki pengarah tersebut turut menggunakan platform media sosial yang sama untuk berkongsi perkembangan kondisi ayahnya semalam.

“Malam ini agak suram dan syahdu. Di kala nak menaip posting ini pun jari jemari terketar-ketar.

“Papa dah tenat dan nazak. Saya mohon semua doakan papa. Papa baik orangnya. Ramai orang senang, sayang dengan Papa.

“Malam ini, saya tengok papa sudah semakin lemah. Bacaan surah Yassin yang termampu buat untuk papa.

“Kami, anak-anak, menantu dan cucu semua sayang Papa. Kami doakan Papa,” tulisnya.

Masjid Taman Melawati akan menerima jenazah pengerusi FDAM tersebut pagi ini dan berkemungkinan akan dikebumikan setelah solat Jumaat hari ini.

Jenazah ketika dalam perjalanan ke Masjid Al-Mardiyah Taman Melawati.

Pelakon Mat London telah menjadi pesakit di HKL sejak 16 Jun lalu kerana jangkitan kuman di paru-parunya.

Dalam tempoh rawatan, Allahyarham bergantung sepenuhnya dengan mesin oksigen dan berada di dalam wad pengasingan ICU, selain mengalami pelbagai komplikasi penyakit lain.

Sekadar info, kali terakhir beliau berkarya ialah Kampong Pisang Bersiri-Siri arahan Allahyarham Mamat Khalid pada tahun 2020.

BACA LAGI: “Ini Yang Saya Pilih..” Meerqeen Abaikan Kata-Kata Nakal Kononnya Wajah ‘Terlalu Mainstream’

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Facebook Salmany Akir Ahmad

 

Published by
Adriana Syaurah