Bella Hadid Pertahan Hak Hijabi Menutup Aurat Di Negara Yang Mendiskriminasi

Share

 

Menerusi tiga hantaran di Instagram secara berturut-turut sejak tiga hari lalu, model antarabangsa Bella Hadid telah terbuka untuk membangkitkan isu diskriminasi yang sedang dihadapi oleh gadis hijabi di beberapa buah negara, kebelakangan ini.

Bella, 25 atau nama penuhnya, atau nama sebenarnya, Isabella Khair Hadid sememangnya dikenali sebagai seorang yang lantang mempertahankan sebarang bentuk ketidakadilan yang dihadapi oleh masyarakat dunia.

Sumber Foto : Harper’s Bazaar

Pada tahun lalu apabila negara Palestin berdepan serangan agresif penjajah zionis Israel, Bella dan kakaknya, Gigi merupakan di antara personaliti popular yang menentang kekejaman tersebut. Malah, REMAJA pernah melaporkan mengenai pembabitan Bella dalam demonstarasi jalanan di kota New York bersama-sama gadis lain yang tidak bersetuju dengan kekerasan Israel.

ARTIKEL BERKAITAN : Bella Hadid Pertahankan Rakyat Palestin, Kutuk Serangan Israel Ke Atas Gaza – REMAJA

Pada minggu lalu, isu diskriminasi terhadap golongan hijabi di negara India telahpun mendapat perhatian menyeluruh menerusi media antarabangsa. REMAJA turut tidak ketinggalan membuka mata para pembaca kami mengenai insiden yang dihadapi penuntut universiti, Muskan Khan yang terpaksa berdepan serangan lisan oleh sekumpulan lelaki di luar kampusnya di India hanya disebabkan penampilannya yang berhijab.

ARTIKEL BERKAITAN : Muskan Khan, Gadis 19 Tahun Berani Tuntut Keadilan & Perjuangkan Hijab Di India – REMAJA

Hanya beberapa hari selepas itu, timbul pula kisah seborang pelajar sekolah bernama Hoda Al-Jamaa yang terpaksa dimasukkan ke hospital di Otago, New Zealand setelah tiga pelajar didakwa menanggalkan hijabnya sebelum memukul pelajar berusia 17 tahun itu.

Ia telah menaikkan rasa amarah penduduk dunia termasuklah Bella Hadid yang berpendapat sudah tiba masanya rasa hormat perlu dititipkan dalam diri setiap insan.

Sumber Foto : Harper’s Bazaar

“Kita perlu mengubah pemikiran menjatuhkan judgement. Ajarilah rakan, anak, ibu bapa dan keluarga kita bahawa pemakaian hijab, menjadi seorang Muslim atau menjadi seseorang yang tidak berkulit putih secara amnya tidak sama sekali bermaksud mereka adalah satu bentuk ancaman atau mereka berbeza daripada orang lain.

“Kasihilah sesama kita sebelum membenci, ajarlah sebelum menjatuhkan hukuman, lindungilah sebelum membuli,” kata Bella sambil berharap golongan hijabi akan terus kekal dengan kepercayaan mereka dan tidak mudah rapuh disebabkan tentangan yang dihadapi mereka.

Hijab juga buatnya bukanlah sesuatu yang harus diremehkan biarpun ia semakin kerap digunakan sebagai aksesori fesyen yang dirinya sendiri pakai semasa memperagakan pakaian.

“Walaupun hijab dan penutup kepala sedang muncul dalam dunia fesyen, kita harus ingat akan perjuangan harian, penderaan dan diskriminasi yang dihadapi wanita Islam disebabkan kepercayaan dan pendirian mereka.

“Setiap wanita berhak menentukan apa yang dilakukannya terhadap tubuh badannya. Hanya mereka yang boleh membuat keputusan ke atasnya.

“Walaupun fesyen semakin terbuka dan membuatkan pemakaian aksesori seperti hijab lebih diterima, saya ingin kita semua ingat dari mana asal pemakaian hijab dan mengapa ia penting kepada wanita Islam. Saya tahu ramai gadis Muslim yang terpaksa berdepan ketidakadilan, prejudis dan isu perkauman.”

“Berdirilah bersama-sama sahabat Muslim kamu. Jika kamu melihat sesuatu (yang salah), katakanlah sesuatu mengenainya,” catatnya dengan penuh bersemangat.

BACA LAGI : Berketurunan Darah DiRaja Palestin, Ayah Bella Hadid Bercerita Bagaimana Keluarganya Diusir Dari Rumah Sendiri – REMAJA

Untuk pengetahuan, Bella berketurunan Palestin-Amerika di mana ibunya, Yolanda Hadid merupakan seorang bekas peragawati. Manakala ayahnya, Mohamed Hadid pula ialah seorang arkitek dan pemaju hartanah.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ