Setelah lebih setahun tergendala, akhirnya Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun sedang mengadakan upacara pembukaannya secara langsung.
Seperti dijangka, Jepun melakukan yang terbaik bagi mengalu-alukan para atlet dan delegasi setiap negara yang bertanding pada kali ini. Biarpun ia tidak segah upacara pembukaan edisi terdahulu kerana Jepun sendiri ingin menghormati musim pandemik Covid-19 yang masih berleluasa di seluruh dunia. Namun ia tetap dirancang secara teliti – Japanese style.
ARTIKEL BERKAITAN : Tokyo 2020 Bakal Jadi Sukan Olimpik Paling Sunyi Tanpa Penonton – REMAJA
Belum sempat pun lagi untuk kita menyaksikan upacara tersebut, khabarnya satu berita kurang enak telah dilaporkan. Pengarah persembahan upacara pembukaan pada kali ini, Kentaro Kobayashi telahpun dipecat oleh pihak penganjur hanya SEHARI sebelum ia bermula!
Semuanya gara-gara klip lama dari era 1990-an yang kembali muncul dan tular. Dalam klip tersebut, Kentaro dilihat sedang bergurau mengenai pemusnahan kaum besar-besaran ataupun ‘holocaust semasa beliau mempersembahkan sebuah sketsa komedi 23 tahun yang lalu.
Holocaust di sini merujuk kepada pemusnahan kaum yang dilakukan oleh Nazi ke atas anggota masyarakat yang tidak berdosa.
Dalam sketsa tersebut, Kentaro ditemani oleh rakannya dan mereka membawakan watak penghibur kanak-kanak. Dia merujuk kepada patung kertas yang ada dalam sketsa itu dan berkata ia adalah patung yang digunakan mereka semasa bermain ‘Holocaust’. Walaupun ia adalah klip lama, Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga menggambarkannya sebagai “teruk dan tidak boleh diterima sama sekali’.
Dalam kenyataan rasminya, Kentaro menerima keputusan pemecatannya itu dengan perasaan reda dan memahami bahawa sebarang bentuk hiburan tidak perlu membuatkan mana-mana pihak tidak selesa.
“Saya faham pemilihan perkataan saya pada waktu itu adalah bodoh dan saya menyesalinya,” ulas Kentaro.
Kontroversi terbaru ini sekaligus menjadi sebahagian daripada beberapa lagi kontroversi yang telah melanda Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Terdahulu pada minggu ini, seorang komposer berhenti daripada pasukan pemuzik upacara pembukaan hari ini selepas kisahnya yang pernah membuli rakan sekelas yang kurang upaya di sekolah dahulu dibongkarkan. Selain itu, Jepun juga memutuskan untuk tidak membenarkan penonton dalam arena stadium disebabkan kes COVID-19 yang semakin memuncak di Tokyo.
BACA LAGI : Sempena Sukan Olimpik, Google Keluarkan Doodle Champion Island Games Menarik! – REMAJA