Dalam kita mengeluh dengan kerja harian kita yang kita rasakan dah cukup susah, rupanya masih ramai di luar sana yang bertungkus lumus mencari rezeki tanpa kenal erti penat dan lelah.
Dalam satu perkongsian oleh Steven Sim Chee Keong di laman facebooknya, dia telah bertemu dengan seorang penghantar Food Panda yang mengayuh basikal meredah hujan dan panas demi sesuap nasi, walaupun ketika berpuasa.
Menurut ahli parlimen Bukit Mertajam dalam hantaran di laman Facebooknya,
Saya ditemukan dengan seorang rider food panda yang menginsafkan saya tentang nilai sebuah kehidupan. Adik Mohamad mengayuh basikal meredah hujan dan panas demi sesuap nasi, walaupun ketika berpuasa.
Apabila saya bertanya kepadanya, mengapa dia berbasikal dan tidak menunggang motorsikal seperti yang lain; dia jawab, dia tidak ada motorsikal.
Basikal pun dipinjam daripada kawan, itupun seat dia dan banyak yang dah rosak. Tapi demi mencari rezeki, dia redha.
Adik Mohamad berusia 22 tahun, merantau jauh dari Kelantan ke Pulau Pinang untuk bekerja. Keluarganya tidak kaya tapi mementingkan pendidikan. Ada 10 orang adik beradik. Ayahnya seorang guru agama. Dia sendiri lulusan diploma kejuruteraan Poli, dengan keputusan cemerlang.
Tapi setakat ini gajinya hanya RM500 sebulan, nak makan pun tak cukup, sewa bilik dia tak bayar, atas ehsan kawannya. Adik Mohamad tidak merungut, malah bersyukur dengan peluang yang ada. Sebaliknya lepas kerja setiap hari, dia pinjam basikal kawan untuk jadi rider food panda. Lepas kerja, rehat satu jam, pi kayuh sampai 11 malam. Dapat RM20-30 sehari, cukup makan beberapa kali. Ada kala, makan nasi lemak tiap-tiap hari sebab nak jimat duit.
Saya tengok kedua-dua belah tangannya pun sudah terbakar dek terik matahari.
Perkongsian ahli parlimen Bukit Mertajam ini juga mengundang rasa sedih netizen. Rata-ratanya netizen juga memuji sifat murni beliau membantu golongan muda yang gigih mencari rezeki.
Semoga Mohamad lebih bersemangat untuk menjalankan tugas selepas ini. Pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah ini, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Walaupun tiada kenderaan namun mereka tetap gigih demi mencari rezeki. Bak kata pepatah usaha tangga kejayaan dan alah bisa tegal biasa.
Sumber: Steven Sim Chee Keong