Berdosa Beri Hadiah Tidak Senonoh, Jatuhkan Aib Pengantin Di Majlis Mulia

Share

 

Baru-baru ini, tular video berdurasi dua minit 15 saat di TikTok yang memaparkan senario di mana rakan kepada pasangan pengantin beratur untuk memberikan hadiah tidak senonoh kepada mereka di atas pelamin secara bergilir-gilir.

Di antara hadiah tersebut termasuklah satu pek kondom dan juga barangan lain yang seharusnya hanya diketahui oleh pasangan suami isteri sahaja.

Perkongsian tersebut pantas meraih perhatian warganet; ada sebilangan yang beranggapan ia hanyalah gurauan ‘manja’ terhadap rakan mereka yang baru sahaja menamatkan zaman bujang. Begitupun, majoriti tidak bersetuju dengan tindakan yang dianggap memalukan serta tidak beradab itu.

Lantas, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim terpanggil untuk menasihati anak muda yang menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka agar tidak terbawa-bawa dengan perangai seperti ini dan meminta agar ia dihentikan.

Pendakwah itu berkata, ini memandangkan majlis perkahwinan adalah majlis yang Nabi Muhammad SAW sendiri sangat memuliakan. Baginda katanya cukup suka memberi hadiah kepada orang untuk menggembirakan hati tuan rumah, lebih lebih lagi mereka yang melangsungkan perkahwinan.

“Ada riwayat Rasulullah menyuruh para sahabat yang sedang berpuasa sunat dan dijemput ke majlis perkahwinan untuk berbuka puasa. Sampai begitu sekali Rasulullah memuliakan pengantin dan keluarga.

“Sebab itu, Islam menyarankan kita menghormati pengantin, keluarga pengantin dan majlis yang diraikan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Tidak Perlu Malu, Halim Othman Pesan Pasangan Bernikah Di Thailand Untuk Daftar Perkahwinan – REMAJA

Dalam perihal jenis hadiah yang wajar diberikan kepada pasangan pengantin pula, Mohd Izhar berkata ia mestilah tidak menghina dan menjatuhkan maruah pengantin. Sekiranya ia boleh menjatuhkan aib mana-mana pihak hukumnya adalah makruh. Itu jika hadiah diberikan secara peribadi tau!

Hukum pemberian hadiah tidak senonoh seperti dalam video tersebut dalam persekitaran khalayak ramai sehingga boleh menjatuhkan aib pasangan pengantin, keluarga dan majlis perkahwinan itu sendiri boleh jatuh kepada berdosa dan haram.

Lagipun, Allah SWT katanya sangat suka dengan orang yang menutup keaiban. Siapalah kita untuk membuka aib orang secara terang-terangan seperti trend tular itu?

“Saya khuatir perkara ini menjadi amalan tidak baik kepada anak muda. Saya nasihatkan anak-anak muda supaya menjaga adab ketika menghadiri majlis perkahwinan, beri hadiah dan berseloroh,” ujarnya.

BACA LAGI : Tetamu Terkejut Terima Doorgift Mewah Di Perkahwinan Son Ye Jin & Hyun Bin – REMAJA

Sumber : (1)

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ