“Berebut” Nak Bantu Saat Cikgu Sakit! Mesti Cikgu Aminah Ini Sangat Istimewa Di Hati Pelajarnya

Share

Tidak dinafikan alam persekolahan amat menyeronokkan.Bukan saja tempat menimba ilmu tapi di sekolah juga kita belajar berkawan, mencari sahabat, melalui zaman cinta monyet dan pelbagai kisah lain. Walau ada segelintir bertindak nakal dalam meniti usia remaja tetapi apabila tamat belajar, perkataan pertama disebut bila berjumpa kawan lama, ialah “aku rindu sekolah”.

Masa yang sama, siapa guru-guru yang mengajar pasti kita ingati. Kena cubit, kena marah dan bermacam karenah membuatkan alam persekolahan sangat istimewa.

Perkongsian di fb, Mawadah Mohd Nor yang mengakui bekas-bekas rakan sekolahnya tak kira duduk di daerah berdekatan juga luar yang bergandingan bahu membantu seorang bekas guru mereka iaitu Cikgu Aminah amat menyentuh hati. Seperti katanya ia bukti kasih sayang yang tak bertepi buat guru mereka yang terlantar sakit. Mesti Cikgu Aminah ini sangat istimewakan. Bila lihat ramai membantu, kita tahu bahawa suatu masa dahulu, guru inilah mengajar kita menjadi insan.

Ya, inilah tauladan baik untuk kita lakukan. Ketika remaja kita meniti ilmu dan tentukan dibantu oleh guru-guru yang berdedikasi. Bila sudah berjaya, inilah masanya kita membalas walau guru tidak memintanya. 

Bacalah perkongsiannya. Terasa ia sangat istimewa untuk kita membalas jasa seorang guru.

Ini bukti kasih dan sayang yang tidak bertepi. Tanpa syarat. Tanpa paksaan. Hadir dari jiwa suci yang benar-benar tulus dan ikhlas.

Mereka berlumba-lumba datang memberi bakti kepada Cikgu Aminah.

Urusan discaj cikgu dari ward.

Urusan penghantaran cikgu pulang ke rumah.

Urusan mencari katil hospital untuk cikgu.

Urusan mencari tong oksigen.

Urusan penyediaan menu makanan.

Semuanya diuruskan oleh anak-anak pelajarnya yang semuanya sudah berjanggut dan beruban itu. Kebanyakannya daripada bekas-bekas pelajar SPM tahun 1990-an.

Ramai yang turun membantu bila tahu cikgu Aminah sakit dan memerlukan bantuan.
Bekas pelajar memasang katil baru untuk kegunaan guru yang mereka sayangi iaitu Cikgu Aminah

Subhanallah.

Mereka yang tinggal berdekatan turun mencurah bakti dan tenaga. Ke sana ke mari melengkapkan keperluan cikgu yang semakin tidak bermaya itu. Membawa barangan keperluan terus ke rumah cikgu.

Allahu Akbar.

Saya terharu menyaksikan momen yang sangat indah ini. Melihat bakti ikhlas pelajar-pelajar ke atas guru mereka. Semoga hidup kalian dipayungi rahmat Allah atas sebab restu ilmu seorang guru.

Anak-anak pelajar cikgu yang berada jauh di luar daerah, negeri dan melangkau perbatasan, juga tidak kurang juga mencurah bakti. Teknologi telah membuka banyak jalan kebaikan.

Lalu, diuruskan semuanya dari jarak jauh. Menghubungi pembekal-pembekal keperluan agar cikgu tidak lagi perlu berhadapan dengan kesulitan menguruskan diri.

Cikgu memberi teladan yang baik kepada kami.
Hidupnya diinfaqkan sepenuhnya untuk mendidik.

Cikgu Aminah yang juga guru Bahasa Melayu menginfakkan dirinya untuk mengajar anak murid suatu ketika dahulu, saat dirinya masih sihat tanpa berkira

Tidak perlu menanti memegang title guru agama, tugasan mendidik itu diabadikan fi sabilillah. Lalu, Allah Taala memuliakan cikgu. Dikurniakan anak-anak pelajar yang luar biasa akhlaknya.

Ya Allah Engkau rahmatilah Cikgu Aminah kami ini. Beliaulah guru Bahasa Melayu saya ketika di peringat menengah rendah. Maka, pastinya saya akan menukilkan kisah indah cikgu menjadi teladan kepada semua yang membacanya.

Mawaddah Mohd Nor
… Anak murid cikgu.
Anak didik cikgu.
Selamanya menyayangi cikgu.

Published by
Almaswa Haji Che Ros