Di saat beberapa pemain perseorangan dan beregu badminton harapan negara terkandas di kejohanan badminton Terbuka Denmark pada hujung minggu lalu, dua pemain badminton negara ini pula menunjukkan keupayaan masing-masing di kejohanan Terbuka Czech yang berlangsung juga pada waktu yang sama.
Peminat sukan negara mengetahui jadual perlawanan yang cukup ketat perlu dihadapi oleh pemain badminton negara pada setiap minggu sekarang. Sejak kejohanan Piala Sudirman diikuti Piala Thomas serta Piala Uber, mereka tidak berhenti bertarung demi Malaysia di sekitar benua Eropah. Tentunya kepenatan dirasai oleh sebilangan besar skuad negara di sana.
BACA LAGI : Pelik Bendera Merah Putih Tiada Semasa Indonesia Julang Piala Thomas? Ini Sebabnya – REMAJA
Menariknya, tidak semua pemain menjadikan kepenatan sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan. Semalam, seluruh rakyat Malaysia berbangga apabila sejarah tersendiri dilakar pasangan beregu wanita negara, Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing yang berjaya menundukkan pasangan Indonesia, Febby Valencia Dwijayanti Gani-Jesita Putri Miantoro pada perlawanan akhir Terbuka Czech.
Biarpun baru kali pertama digandingkan bersama, Anna-Mei Xing berjaya menakluki Vodovo Hall, Brno setelah menunjukkan prestasi baik dengan kemenangan 21-15, 16-21, 21-17 lalu memenangi gelaran siri antarabangsa sulung mereka. Terdahulu, Anna-Mei Xing mengalahkan beregu Rusia di peringkat separuh akhir dengan skor 21-5, 21-14.
Sebelum ini, masing-masing digandingkan bersama pemain lain; iaitu Anna bersama Yap Cheng Wen di Terbuka Austria manakala Mei Xing bersama Yap Ling di Piala Uber.
Dalam pada itu, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong yang menunjukkan potensi besar semasa kejohanan Piala Thomas, baru-baru ini muncul sebagai pemain kedua terbaik di Terbuka Czech setelah tewas kepada pemain tuan rumah, Jan Louda dalam perlawanan akhir yang berlarutan hingga satu jam 24 minit.
Pemain yang berasal dari Johor itu menunjukkan persembahan mantap di awal perlawanan apabila memenangi set pertama dengan skor 21-16. Bagaimanapun, Louda memperbaiki rentak permainan biarpun ditentang Tze Yong hingga ke set penentuan yang berakhir dengan skor 25-27.
Biarpun gagal membawa pulang gelaran juara, Ng Tze Yong nyata telah mencuri tumpuan sejak dia bergelar juara di Terbuka Poland 2021 dan memperbaiki permainannya pada Piala Thomas. Pada usia 21 tahun, Ng Tze dilihat mempunyai masa depan yang cukup cerah seiring pemain badminton negara lain yang lebih senior seperti Lee Zii Jia dan Cheam Jun Wei.
ARTIKEL BERKAITAN : Cheam June Wei ‘Upgrade’ Dari ‘Sparring Partner LCW’ Kepada Peseorangan Kedua, Kenali Pemain Badminton 24 Tahun Ini – REMAJA
Seorang lagi pemain perseorangan wanita negara yang baru berusia 17 tahun, Siti Nurshuhaini juga cemerlang setelah bergelar naib juara di Terbuka Czech.