Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub disahkan meninggal dunia pada jam 9.23 malam, Ahad oleh anaknya, Fatihah Salahuddin menerusi akaun media sosialnya.
Salahuddin, 62 telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar sejak Jumaat lalu untuk mendapatkan rawatan setelah beliau mengalami mual dan muntah-muntah. Beliau kemudiannya didiagnos dengan pendarahan otak oleh doktor pakar di sana.
“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” catatnya anaknya.
Sejurus pengesahan tersebut dilakukan, ramai figura dan tokoh negara yang tampil mengucapkan takziah menerusi platform media sosial masing-masing termasuklah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi hantaran di Instagram, beliau mengakui terkesan setelah mendapat tahu Salahuddin telah pergi dijemput llahi sebentar tadi. Menggelarnya sebagai seorang sahabat yang setia, Anwar menghormati integriti Allahyarham yang teguh bersamanya dalam perjuangan politik yang panjang sehingga ke akhir hayatnya.
“Beliau dikenali kerana mempunyai sikap keperibadian yang tinggi, sama ada kepada kawan mahupun lawan. Sosok yang kuat bekerja dan sangat taat pada amanah dan tanggungjawab.
“Berehatlah, sahabatku. Semoga Allah SWT memberi kesabaran yang tinggi buat keluargamu, mengampunkan segala dosamu dan semoga saudaraku Salahuddin diberikan tempat yang istimewa di sisi-Nya. Insya-Allah,” catat beliau.
Sebagai info, Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) sejak tahun 2014. Beliau terus-menerus mendapat mandat daripada rakyat setelah memenangi kerusi Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Negeri Johor bagi kawasan Simpang Jeram di Muar; pada Pilihan Raya umum ke-14 dan ke-15.
Allahyarham juga pernah menggalas tugas sebagai Menteri Pertanian dan industri Asas Tani ketika pemerintahan Pakatan Harapan setelah ia memenangi Pilihan Raya Umum pada tahun 2018.
SUMBER: Awani & Instagram Anwar Ibrahim
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.