Bergelar Pramugari & Pelajar Jurusan Periklanan, Diana Silva Dinobatkan Sebagai Miss Venezuela 2022

Share

Venezuela boleh dikatakan sebagai negara powerhouse dalam pertandingan ratu cantik, setiap ratu yang dihantar mewakili negara tersebut pastu sekurang-kurangnya berjaya menembus jajaran separuh akhir.

Terbaharu, pertandingan Miss Venezuela 2022 telah diadakan yang mana menyaksikan Diana Silva dinobatkan sebagai juara. Dia telah dimahkotakan oleh oleh Miss Venezuela 2021, Amanda Dudamel dan akan mewakili Venezuela di pentas Miss Universe kelak.

Diana yang berusia 25 tahun merupakan seorang pramugari dan dalam masa yang sama dia juga merupakan seorang pelajar dalam bidang pengiklanan. Pada peringkat akhir pertandingan, gadis tinggi lampai ini mendedahkan dalam pusingan soalan bahawa dia sebelum ini berbelah bahagi untuk menyertai peraduan itu kerana ‘situasi yang sangat tidak selesa dan sangat menyedihkan’.

Walaupun begitu dia tidak mendedahkan sebarang butiran lanjut mengenai situasi itu. Dia menambah bahawa pengalaman buruk ini adalah apa yang mendorong dirinyauntuk memenuhi impian dan dia bersyukur dapat mempelajari sesuatu perkara yang berharga daripada insiden itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hargai Asal Usul, Gadis Ini Jadi Orang Asli Pertama Menang Miss World Canada

Diana menganggap dirinya sebagai seorang wanita yang berdedikasi, fokus dan bertanggungjawab. Seiring dengan kemenangannya, Diana ingin mewujudkan satu inisiatif (Inisiatif Rakan Warga Emas) di mana mereka akan meletakkannya dalam agenda dan membangunkan tindakan yang bertindak balas terhadap masalah yang terjadi kepada golongan tersebut.

 Apabila ditanya apa erti menjadi ratu cantik baginya, Diana memetik, “Bagi saya, seorang ratu cantik dalam era baharu ini melangkaui apa yang boleh dilihat secara luaran. Kita harus sedar akan tanggungjawab sebagai contoh yang sentiasa jadi ikutan. Saya rasa perkara paling positif yang boleh saya tawarkan kepada semua orang ialah mereka harus mencari versi diri mereka yang lebih baik.

“Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, saya telah belajar untuk mencari diri saya sendiri, mengenali diri saya, menerima diri saya dan mengasihi diri saya sendiri tanpa banyak rasa tertekan dengan  kelompok sosial yang harus dikagumkan. Saya percaya bahawa kebaikan terbesar yang boleh dimiliki oleh mana-mana manusia ialah menyayangi diri sendiri,” ujarnya panjang.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Kredit foto: Elpitazo.net

Published by
Fiezreen