Bergenang Air Mata Angelina Jolie Lawan Keganasan Domestik

Share

 

Selama ini, imej pelakon Hollywood, pengarah dan humanitarian, Angelina Jolie cukup dikenali sebagai seorang wanita yang kuat dan tidak mudah mengalah dalam apa juga yang diusahakan.

ARTIKEL BERKAITAN : Angelina Jolie Buka Akaun Instagram, Sampai Mesej Kemanusiaan & Cipta Rekod Dunia! – REMAJA

Jelitawan berusia 46 tahun itu bagaimanapun tidak dapat mengelak daripada dilanda rasa sebak sewaktu berucap di Kongres Amerika Syarikat yang berlangsung kelmarin di Washington DC.

Jelas kedengaran suara Angelina sedikit ‘pecah’ apabila beliau menyeru agar penggubal undang-undang AS meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bagi memerangi isu keganasan rumah tangga melibatkan wanita dan kanak-kanak di Amerika Syarikat.

“Hakikatnya, keganasan yang berlaku di rumah telah dinormalisasikan di negara kita.

“Saya ingin tumpuan diberikan kepada kanak-kanak yang sering dilanda ketakutan dan menderita selama ini. Ramai yang telah menjadi mangsa kerana kita terlambat untuk meluluskan undang-undang ini,” ujarnya sambil berikrar untuk menyokong sebarang bentuk bantuan perubatan dan bantuan perundangan kepada kanak-kanak yang selama ini terdedah dengan keganasan domestik.

Selain Angelina, turut berada di kongres tersebut adalah bekas mangsa keganasaan rumah tangga yang terselamat.

“Ini adalah salah satu undian paling penting boleh anda berikan pada tahun ini di peringkat senat.

“Walaupun saya sedang berdiri di pusat pemerintahan negara kita yang mempunyai pelbagai kuasa, saat ini apa yang saya fikirkan adalah insan-insan yang diperlakukan pendera masing-masing sehingga mereka merasa tidak berkuasa lagi; sistem negara kita gagal melindungi mereka.

“Apabila kongres membiarkan Akta Keganasan Terhadap Wanita tidak diperbaharui selama sedekad, ia membuatkan mangsa-mangsa ini merasa lebih tidak berkuasa,” tegasnya lagi.

RUU tersebut akhirnya diluluskan apabila sekelompok besar senator AS bersetuju sudah tiba masanya agar perlindungan yang diberikan kepada mangsa keganasan domestik terbela.

Kata Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dalam satu kenyataan, beliau gembira RUU ini telah dibawa ke hadapan bersesuaian dengan perubahan zaman.

Tinjauan REMAJA di media sosial mendapati warganet tertanya-tanya sekiranya rasa sebak yang dirasai Angelina Jolie ini ada kena-mengena dengan dakwaan terhadap bekas suaminya, Brad Pitt yang dikatakan pernah bersifat agresif ke atas anak sulungnya, Maddox satu ketika dahulu.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ