Sekarang ini trending di twitter mengenai isu yang dikemukakan oleh Fynn Jamal bahawa perbuatan wanita di media sosial, seperti menggunakan filter dan memuat naik gambar, turut menjadi punca kepada jenayah rogol. Malah hal ini turut mendapat perhatian dari penyanyi Caprice yang mengundang Fynn Jamal dalam satu sesi langsung di Instagram semalam untuk mengulas isu itu.
Selepas kenyataan agak berani dari Fynn yang menerima banyak kecaman dari orang ramai di mana ada yang berkata, jangan salahkan wanita semata-mata dan lelaki patut dididik dari memandang wanita sebagai objek seksual, datang pengakuan dari seorang lelaki yang menyifatkan ibunya adalah mangsa dari jenayah kejam ini.
Hal ini telah mendapat pandangan dari peguam terkenal, Nor Zabetha Mohamad dari Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co dari sudut pandangannya yang dizahirkan di fb miliknya sebentar tadi.
Apa yang nyata beliau menyifatkan pandangan dari Fynn Jamal itu mengelirukan dan berat sebelah.
**media[212363]**
Tentang trending di Twitter isu rogol dari sudut pandangan Fynn Jamal.
Yang membuatkan saya menulis status ini, apabila terbaca laporan pengakuan seorang pemuda "Ibu dirogol waktu rumah dipecah masuk, saya anak hasil tragedi itu". Komen ini ditinggalkan Instagram (IG) Live di antara Caprice dan Fynn.
"Jangan kata semua perempuan sengaja, diorang adalah mangsa. Saya mewakili ibu saya, perogol yang bersalah,” tambah pengakuan pemuda itu lagi.
Tabah ibu pemuda ini. Semoga segala kebaikan dunia dan akhirat diberikan kepada ibu pemuda ini. Rasa sedih mengenangkan segala dugaan yang dihadapi ibu dan pemuda ini.
Saya baca temubual antara Astro Gempak dengan pemuda ini, katanya pada Astro Gempak
“Saya ada ibu yang penyayang, yang tak pernah buang saya walaupun saya bukan anak yang dia tunggu-tunggu", katanya lagi. Betapa kasih ibu mengatasi segala-galanya.
Katanya waktu ditemubual, waktu kejadian itu ibunya telah pun berkahwin. Bukan mudah hendak lahirkan anak luar nikah dalam keadaan ini.
Saya teramatlah setuju apabila dia kata,
“Berhenti salahkan wanita dalam segala hal. Wanita adalah perhiasan dunia, hargai wanita. Berhenti salahkan pakaian wanita, mula didik anak lelaki jaga tingkah laku, jaga syahwat, fikir apa perasaan kalau orang buat macam tu pada keluarga terdekat".
Saya tidak setuju bila komen Fynn Jamal semata-mata tentang wanita yang menjadi punca. Benar kata pemuda ini. Saya sokong.
Jenayah itu tidak berlaku semata-mata kerana punca tetapi kerana sikap jahat dan tidak berperikemanusiaan manusia. Perbuatan jahat itu datang daripada pelakunya.
Kenapa bila kes rogol sentiasa dikaitkan dengan mangsa? Kenapa tidak jenayah yang lain? Misalnya, kalau jenayah pecah masuk, tidak pula disalahkan sistem sekuriti tidak selamat. Kita kata penjenayah jahat, tidak kita salahkan punca.
Banyak jenayah, kalau yang jahat itu mereka salahkan pelaku tetapi bila bab rogol, salahkan wanita sebagai punca.
Bahayanya segala penulisan Fynn itu, kerana dia ramai follower. Mengelirukan. Berat sebelah. Pada bahagian menegur, tentang profil mengada-ngada, saya faham penyampaiannya. Pun begitu, masih mengelirukan dan persoalannya adakah ini justifikasi jenayah rogol?
Realitinya, di zaman ini bukan kerana gambar profil sahaja. Bahan lucah atau laman web lucah memenuhi internet. Boleh diakses. Filem-filem luar negara yang mengalami unsur-unsur sex juga terlalu banyak. Ini juga menjadi punca jenayah rogol tanpa melihat gambar profil yang acah-acah comel.
Saya memikirkan kes-kes sumbang mahram, bila mana dalam keluarga sendiri hal ini berlaku. Bukanlah salah mangsa tetapi kerana nafsu serakah si keji yang sepatutnya melindungi mangsa.
Bukankah kita ini sebagai orang Islam perlu menjaga ibadah, amalan, nafsu kita?
Jadi benar kata pemuda itu, didikan kepada lelaki. Ajar mereka berpegang kepada agama dan moral. Jika agama itu sentiasa dihati, tidak tergamak untuk mereka melakukan apa-apa jenayah sekalipun.
Oleh Nor Zabetha.