Berhenti Sekolah Sebab Nak Jadi Content Creator? Dengar Dulu Nasihat Khairul Aming & Boss James

Share

Di dunia media sosial yang serba pantas ini, masing-masing kini berlumba-lumba untuk menjadi pencipta kandungan (content creator) selepas dimomokkan dengan tanggapan yang bidang ini mampu menjana pendapatan lumayan selain boleh meraih populariti.

Namun, tahukah anda, kebanyakkan pencipta kandungan tidak bermula dengan nak mencari duit atau keuntungan semata tetapi sebab minat.

Lantaran itu, para anak muda dinasihatkan untuk tidak tergesa-gesa dalam memilih content creator sebagai kerjaya tetap sehingga memutuskan untuk menamatkan pengajian di peringkat sekolah mahupun universiti.

Menurut pempengaruh terkenal, Khairul Aming, kerjaya sebagai pencipta kandungan sepenuh masa tidak semudah yang disangka. Malah, ia menuntut komitmen yang sangat tinggi serta kebijaksanaan dalam pembikinan konten.

“Janganlah sampai berhenti belajar. Nasihat saya kepada anak-anak muda yang nak menceburi bidang ‘content creator’, habiskan belajar dahulu.

“Bidang media sosial ini bukan mudah. Nak kekal relavan pun makan masa yang banyak. Alhamdulillah, saya kini dah memasuki tahun ke lapan sebagai pembikin konten.

“Namun, perjalan ini bukanlah sesuatu yang mudah sebaliknya ia sangat susah. Kepada adik-adik di luar sana, habiskan belajar dahulu.

“Saya pun lepas kerja baru mula bukannya ketika belajar. Masa itu tetap ada jangan risau,” katanya kepada Remaja.

Hal ini turut diakui oleh seorang lagi pempengaruh Tik Tok terkenal, Boss James yang merasakan setiap perkara yang ingin dilakukan dalam hidup haruslah disertakan dengan niat dan matlamat yang betul.

“Memang senang pun nak jadi content creator tapi cubalah sendiri dahulu. Nak memastikan apa yang kita buat ini menjadi, memang ada caranya. Nak jadi terkenal pun boleh melalui cara yang baik atau buruk. Janji menjadi.

“Namun, bila anda nak membuat sesuatu, adakah matlamat dan niatnya betul?Adakah destinasi terakhir anda akan membantu anda untuk jangka masa yang panjang,” katanya.

Jelas Pengarah Urusan, Berjaya Mega Motors ini lagi, dia melihat ilmu pengetahuan akan membantu penghasilan kandungan yang lebih berkualiti selain membantu menetapkan hala tuju bagi pencipta kandungan.

“Pada anak muda yang nak berhenti belajar walaupun daripada tingkatan satu, tak mengapa. Tapi anda kena ingat, adakah anda mahu ilmu anda setakat itu sahaja?

“Adakah anda mahu bila bersembang dengan orang tapi anda tak faham apa yang diperkatakan. Orang sembang fasal basic ekonomi pun anda tidak faham. Malu nanti.

“Kita tak tahu bila masanya kita akan berjaya. Andai kata satu hari nanti anda berjaya tapi tak memiliki ilmu dan nilai-nilai hidup, susah juga nak survive,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Boss James turut berpandangan untuk menjadi pencipta kandungan berjaya, seseorang itu haruslah percaya kepada proses.

“Saya mengambil masa selama hampir empat tahun setengah untuk sampai ke tahap ini. Ia bukan perjalanan yang mudah.

“Saya sudah belanjakan banyak wang ringgit untuk menimbal ilmu tentang pembikinan konten. Saya berhabis banyak untuk jurukamera dan peralatan untuk menghasilkan konten.

“Pelaburan itu penting tapi kena hati-hati kerana bukan semua orang mengajar perkara yang betul,” akhirinya.

Terdahulu, Boss James dan Khairul Aming ditemui ketika majlis sidang media Tik Tok Awards Malaysia 2023 yang berlangsung The Godown Arts Center, Kuala Lumpur pada Selasa.

Malah, kedua-dua mereka juga tercalon bagi kategori Tik Tok Creator Of The Year.

Tik Tok Award Malaysia 2023 bakal berlangsung pada 27 Ogos ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.

Anugerah yang diadakan buat julung kalinya ini akan dipancarkan secara langsung di saluran TV3 bermula jam 9 malam.

Tiga selebriti terkenal tanah air iaitu Sherry Alhadad, Izzue Islam dan Amelia Henderson telah diberikan tanggungjawab selaku pengacara.

Kredit Foto: Instagram Boss James

Published by
Aizam Abd Manaf