Rezeki nampaknya menyebelahi Aqil Taqee kerana bukan sahaja dinobat sebagai Naib Juara Hero Remaja 2021, malah anak muda berusia 22 tahun ini juga turut dipilih menjadi Hero Inspirasi bagi edisi pencarian tahun ini.
Aqil turut berkongsi perasaannya bahawa dia benar-benar terkejut sebaik sahaja namanya diumumkan sebagai Hero Inspirasi oleh pihak penganjur.
“Sebenarnya saya sendiri tidak menyangka dinobatkan sebagai Hero Inspirasi kerana sepanjang saya menjalani penggambaran saya hanya jadi diri sendiri. Apa yang saya terapkan adalah menghormati orang lain dan Alhamdulillah agaknya sudah tertulis rezeki saya untuk menyangdang gelaran Hero Inspirasi ini,”
“Bagi saya Hero Inspirasi ini adalah seperti satu anugerah yang diterima dan InsyaAllah saya akan terus belajar untuk menjadi individu yang lebih baik jelas Aqil.
Finalis kacukan berdarah Cina ini dipilih menjadi Hero Inspirasi kerana nilai positiviti, usaha dan dedikasi yang diberikan sepanjang pencarian Hero Remaja 2021. Aqil yang sebelum ini seorang remaja pemalu akhirnya berjaya keluar daripada ‘kepompong’ dan membuktikan bahawa pemilihannya sebagai finalis Hero Remaja 2021 tidak sia-sia.
“Sepanjang program ini saya berusaha keras untuk memperbaiki diri dan menimba ilmu serta pengalaman yang diberikan oleh insan-insan hebat dalam industri hiburan tanah air. Saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan, tambahan pula saya pernah gagal dalam sesi uji bakat Hero Remaja 2020. Jadi, peluang yang diberikan ini saya ambil untuk buktikan bahawa saya benar-benar bersungguh ingin menggembangkan bakat dan minat yang ada dalam industri seni,”
“Ketika sesi uji bakat Hero Remaja 2021 juga, saya hadir selama dua hari untuk mencuba kerana pada hari pertama saya disuruh pulang dan datang semula keesokkan harinya dengan semangat baru. Juri menjelaskan bahawa saya seperti kurang yakin dan kelemahan pada suara saya yang agak perlahan,”
“Hari seterusnya, saya hadir bersemangat dan menjalani uji bakat dengan lebih yakin. Memang ramai yang tegur cara saya bercakap agak perlahan. Saya tidak suka meninggi suara kerana bagi saya ia seperti kurang ajar. Namun, kini saya faham ada kalanya kita perlu lebih lantang bersuara mengikut situasi lebih-lebih lagi jika saya ingin masuk ke dalam industri ini. Saya akan cuba memperbaiki diri dan segala teguran yang diterima sepanjang program Hero Remaja ini akan saya sematkan di dalam hati,” jelas Aqil.
Di pentas akhir lalu, finalis ini turut menunjukkan peningkatan yang drastik apabila dia berjaya memukau penonton dan para juri, terutamanya sewaktu melakukan cabaran lakonan bersama pelakon Johan Asa’ri.
“Saya pun terkejut dengan diri saya sebenarnya. Cuma saya fikir bila sudah berada di peringkat sejauh ini, saya tidak akan mensia-siakannya, tambahan pula sewaktu di pentas finale tempoh hari, mama dan abah turut berada bersama kami. Secara tidak langsung, merekalah sebab utama saya menjadi lebih bersemangat dan berusaha melakukan yang terbaik pada malam itu,” tambah Aqil lagi.