Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, tidak pernah sunyi dari dikunjungi puluhan ribu pengunjung yang akan memenuhinya setiap saat melakukan amal ibadat.
Namun sejak 27 Februari lalu di mana Arab Saudi telah menggantung visa mengerjakan umrah bagi mengelak penularan wabak Covid-19 yang telah meragut ribuan nyawa selain sudah merebak ke puluhan negara, ternyata masjid-masjid yang amat dirindui oleh umat Islam ini mulai sepi dari kunjungan orang ramai. Sesuatu yang amat jarang kelihatan.
Semalam, perkongsian Presiden Ketua Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Abdul Rahman As-Sudais melalui Twitter haramain membawa khabar gembira buat seluruh umat Islam.
Menurutnya, dua masjid suci umat Islam iaitu Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah akan dibuka tidak lama lagi selepas situasi COVID-19 ditangani.
“Saya bawa khabar gembira kepada umat Islam yang keadaan akan kembali normal di dua masjid suci tidak lama lagi.
“Dua masjid suci akan dibuka untuk Tawaaf dan solat serta ziarah kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw.
“Atas dasar ini, kita tidak akan tergesa-gesa membuka dua masjid suci kerana semua langkah diambil adalah untuk kebaikan kita,” kata Sheikh Sudais.
Imam Besar Masjidil Haram itu turut meminta umat Islam mendoakan agar situasi pandemik global ini cepat berakhir.
“Sekali lagi, kami menyeru umat Islam berdoa agar pandemik ini selesai, berdoa kepada kebaikan pemimpin (penjaga dua masjid suci) dan menerima apa dilakukan ini adalah yang terbaik. Semoga Allah melindungi mereka,” katanya.
Rata-rata netizen gembira, bersyukur dengan perkhabaran ini dan berharap dapat menunaikan haji.
Arab Saudi sebelum ini menggantung sementara solat Tarawih di dua masjid suci di Makkah dan Madinah bagi mengekang penularan COVID-19. Ia juga menggantung ibadah umrah akibat wabak itu.
Moga umat Islam dapat bersabar dengan ujian yang melanda kita semua ini.
Sumber : Astro Awani