Gadis Malaysia berusia 22 tahun, Manvin Khera mencipta sejarah baharu dalam dunia ratu cantik negara apabila berjaya menjuarai pertandingan Miss Globe 2023 yang telah diadakan di Durres, Albania.
Dalam saingan bersama lebih 53 peserta dari seluruh pelusuk dunia, selain bergelar juara dia juga menggondol anugerah khas Miss Talent apabila berjaya memukau para juri dan tetamu dengan nyanyiannya yang merdu.
Berada dalam kelompok teratas bersama Malaysia ialah Katia Agbodo dari Sepanyol yang memegang kedudukan naib juara manakala wakil Filipina, Anna Valencia Lakrini berada di kedudukan ketiga. Wakil Nigeria, Duru Esther Chidera dan wakil Amerika Syarikat, Kirstin Yvonne Bangs berpuas hati di kedudukan keempat dan kelima.
Semasa sesi soal jawab di peringkat top 5, Manvin diberikan soalan berbunyi, “Apakah satu pengajaran yang anda pelajari sebagai seorang kanak-kanak yang masih mempengaruhi anda dalam hidup anda?”
“Setiap seorang daripada kita berkembang setiap hari dan saya telah belajar daripada kesilapan saya. Saya percaya bahawa kegagalan adalah kunci kejayaan dan setiap kali saya gagal, saya selalu memberitahu diri saya ‘Manvin, anda akan pergi ke sana dan meletakkan diri anda di sana.
“Kerana saya percaya apabila anda jatuh 7, anda bangkit 8, dan kemudian anda melakukan itu, anda menjadi tidak dapat dihalang dan tidak dapat dikalahkan,” jawabnya bernas.
Memiliki ketinggian 173cm, Manvin telah berkampung di Albania sejak lebih dua minggu lalu dan melalui pelbagai cabaran sebelum berjaya dimahkotakan sebagai juara.
Antara cabaran yang dilaluinya adalah head to head challenge, termuduga tertutup, pakaian renang, persembahan kostum nasional termasuklah pertandingan bakat yang menyaksikan dirinya sebagai juara segmen tersebut.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.