
Kata-kata terakhir ibu sebelum meninggal dunia menjadi perangsang buat seorang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sehingga berjaya meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.
Menurut pemilik nama Nur Ain Sofea Iqlima Mohd. Baharuddin, dia menzahirkan kesyukuran apabila dapat menunaikan amanat arwah ibunya yang mahu dirinya cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.
Artikel berkaitan: Cari ‘Duit Poket’ Di Kedai Makan, Bekas Calon SPM 2023 Berjaya Peroleh Keputusan 9A!

“Waktu itu saya sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan Semester 3. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah ibu pesan supaya saya terus belajar bersungguh-sungguh.
“Selain, jangan jadikan kehilangannya nanti sebagai alasan untuk terus ‘jatuh’,” kata bekas pelajar STPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah itu,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut berkongsi pengalaman menjaga ibunya sewaktu terlantar akibat penyakit tiroid di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan, selama hampir sebulan.
Artikel berkaitan: Adik Ubai Berjaya Raih 10A Dalam SPM 2023, Hajat Arwah Ibu Termakbul
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, dia tetap ke kelas setiap hari dengan berulang alik dari hospital ke sekolah sejauh kira-kira 126 kilometer.
“Pada ketika itu, saya membawa buku untuk mengulang kaji pelajaran sambil menjaga ibu di dalam wad.
“Oleh itu, kejayaan hari ini amat berharga buat saya apabila terkenangkan momen menyedihkan itu,” ujarnya lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: K!
Generasi ‘Sandwich’ Mesti ‘Can Relate’! Ini Sebab Mengapa Filem ‘Home Sweet Loan’ Mampu Sentuh Hati Penonton

Isi Kandungan
ToggleBuat penggemar filem, anda mesti tahu mengapa salah satu dari filem asal Indonesia ini pantas menjadi filem yang paling wajib ditonton bagi tahun 2024. Menerusi ‘Home Sweet Loan’ yang diarahkan oleh Sabrina Rochelle Kalangie ini sememangnya mampu memeluk dan mewakili anda para pejuang hidup pada zaman ini.
Mengangkat keresahan dan kepayahan hidup generasi ‘sandwich’, filem yang diadaptasi dari novel karya Almira Bastari ini sememangnya kayak menerima pujian kerana setiap perjalanan cerita yang disampaikan boleh dikatakan dekat dengan ramai orang. Jangan berlengah lagi, ini ‘point’ menarik mengapa anda patut tonton filem ini!
SANDWICH GENERATION CAN RELATE!
Home Sweet Loan mengisahkan kehidupan gadis bernama Kaluna yang gigih berusaha keras demi mendapatkan rumah sendiri. Walau bagaimanapun, hal itu bukan mudah kerana dalam pada masa yang sama, Kaluna mempunyai komitmen terhadap keluarga berbekalkan pendapatan yang tidak seberapa.
Sehingga pada satu hari, Kaluna mula penat dengan kehidupannya dan setiap kali pulang ke rumah dia seperti tidak dialu-alukan membuatkan penonton merasa dekat dengan watak utama filem ini, terutama bagi individu yang berperanan sebagai generasi ‘sandwich’ dalam keluarga.
Selain itu, selingan drama persahabatan, komedi, dan kemanisan romantis juga bakal mencuit hati anda!
KESEDERHANAAN WATAK UTAMA
Watak Kaluna yang dilakonkan Yunita Siregar juga digambarkan secara menyeluruh. Bermula dari penampilan cara berpakaian, make-up, dan gaya hidup juga sangat menggambarkan masyarakat ekonomi menengah. Berbeza dengan rakan-rakannya yang digambarkan lebih stabil berbanding watak utama filem ini.
Ditambah dengan ekspresi wajah jarang tersenyum setiap kali berada di rumah juga berjaya membuat penonton turut merasakan bagaimana penatnya terpaksa memikul beban hidup.
SINEMATOGRAFI PALING EPIK
Penonton Home Sweet Loan juga akan merasa dekat dengan setiap ‘scene’ menerusi filem ini kerana anda akan disajikan dengan visual bagaimana lelahnya para pencari nafkah di kota yang perlu pergi dan pulang kerja menggunakan kenderaan awam seperti bas, keretaapi dan sebagainya.
Paling menarik, penonton juga mungkin merasa seakan-akan dipeluk oleh satu semangat dan membuatkan kita sedar bahawa ramai lagi orang sedang berjuang di haluan masing-masing.
LAGU OST SYAHDU SUASANA
Selitan lagu galau seperti ‘Berakhir di Aku’ Idgitaf yang dijadikan soundtrack utama juga mampu membuatkan anda sebak dan terbawa-bawa dengan suasana. Selain itu, filem ini juga diwarnai lagu-lagu galau lain seperti Kembali Pulang oleh Suara Kayu ft. Feby Putri, Rumah oleh Salma Salsabil, Mendarah oleh Nadin Amizah, Hei Kamu oleh Aviwkila, Terima Kasih Sudah Bertahan oleh Ghea Indrawari, Jakarta Ramai oleh Maudy Ayunda, dan Semoga Sembuh yang dibawakan oleh Idgitaf bersama Ezra Mandira.
Bagi kami di Remaja, filem Home Sweet Loan menarik untuk disaksikan, terutama bagi anda yang sedang merasa penat untuk menjalani kehidupan. Tanpa disedari, filem ini akan menjadi pelukan hangat yang menyedarkan penonton bahawa You Are Not Alone guys! Selain itu, tanpa anda juga secara tak langsung mendapat ilmu dan juga tip hal penting apa yang perlu diperhatikan sewaktu nak beli rumah nanti tau!
Filem ini dibintangi oleh pelakon hebat dari negara seberang seperti Yunita Siregar, Derby Romero, Risty Tagor, Ayushita, Ina Marika, Ariyo Wahab, Fita Anggraini, dan ramai lagi! Home Sweet Loan yang sarat dengan pengajaran hidup ini juga sudah pun ditayangkan di pawagam bermula 21 November!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Latif Romly Dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Perlis

Datuk Abdul Latif bin Romly mungkin dilahirkan sebagai orang kelainan upaya namun itu tidak bermakna dirinya tidak boleh cemerlang. Kejayaan demi kejayaan dikecapi oleh jejaka berusia 25 tahun ini di persada antarabangsa sekaligus mengharumkan nama Malaysia.
Terkenal sebagai atlet lompat jauh dalam kategori T20 (masalah pembelajaran), Latif memegang rekod menang pingat emas untuk dua kejohanan Sukan Paralimpik berturut-turut pada tahun 2016 dan 2020.
Terbaharu, khabar gembira telah dikongsikan oleh Latif apabila beliau telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Sarjana Sains Kemanusiaan daripada Universiti Malaysia Perlis. Menjadikan momen itu lebih manis, anugerah tersebut telah disampaikan oleh Canselor UniMAP, DYTM Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Memetik kenyataan yang dimuat naik unit komunikasi UniMAP di laman Facebook rasmi universiti tersebut, “Setinggi-tinggi Tahniah diucapkan kepada Atlet Para Olahraga Kebangsaan YBhg. Datuk Abdul Latif Romly atas penganugerahan Ijazah Kehormat Sarjana Kemanusiaan sempena Istiadat Konvokesyen 16 Universiti Malaysia Perlis.”
ARTIKEL BERKAITAN: Cemerlang Sukan & Akademik, Azeem Fahmi Akhirnya Pilih Auburn University Sebagai Destinasi Pengajian
Latif yang tampil segak dalam persalinan sut berkemeja putih dan bertali leher rona biru dilihat cukup segak mengayakan jubah konvokesyen dan juga topi beret yang dikhususkan untuk penerima ijazah kehormat.
“Syukur alhamdulilah terima kasih Ya Allah atas penganugerahan ini. Anugerah ini membuktikan atlet paralimpik masalah pembelajaran seperti saya juga mampu menggenggam segulung ijazah. Terima kasih juga kepada UniMAP atas anugerah kehormat ini. Terus bersemangat mengejar impian!” ujarnya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram peribadinya.
Untuk pengetahuan pembaca REMAJA, penganugerahan ijazah kehormat diberikan kepada individu yang tidak menjalani pendidikan formal di kelas seperti pelajar lain untuk ijazah yang diberikan. Namun sumbangan hebat mereka dalam bidang tertentu yang menjadi kayu ukur kepada penilaian.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
[MAHIR BAHASA MELAYU] Keliru Dengan Kata Majmuk

“Antara contoh kata ganda berentak ialah remuk-redam, corat-coret, warna-warni dan bukit-bukau”, terang Azmi kepada Naqui. “Hei, bukit bukau bukan merupakan kata ganda berentaklah, tapi kata majmuk,” sampuk Johan. “Mengapa kamu menyatakan demikian”, tanya Azmi kepada Johan”. “Kedua-dua perkataan itu mempunyai maksud tertentu dan boleh berdiri sendiri. Bukit bermaksud kawasan tanah yang tinggi, manakala bukau bermaksud lembah, maka tidak ada tanda sempang antara bukit dengan bukau”. Jelas Johan. Oleh itu, apakah maksud kata majmuk?
Kata majmuk ialah proses yang merangkaikan dua kata dasar atau lebih, dan mewujudkan makna tertentu. Kata majmuk ialah kata-kata yang dibentuk daripada gabungan dua atau lebih morfem bebas dan makna kata yang baharu dibentuk itu berlainan daripada makna asal kata-kata yang membentuknya. Abdullah Hassan (2006: 268) telah menyenaraikan rumusan definisi kata majmuk berdasarkan satu seminar yang dihadiri, iaitu:
- Kata majmuk terdiri daripada sekurang-kurangnya dua morfem bebas.
- Kaitan antara unsurnya tidaklah berkaitan secara langsung dalam hubungan D-M. Kedua-dua unsurnya bukan D (diterangkan) dan M (menerangkan), unsurnya masih daripada kata majmuk.
- Hukum D-M pada Frasa Nama lebih langsung daripada DM pada kata majmuk.
- Maknanya masih bergantung pada inti. Daripada inti itulah ditambah dengan ciri-ciri khusus makna itu.
- Gabungan dua morfem bebas tidak melibatkan sebarang imbuhan, untuk mengelakkan kata terbitan menjadi kompleks.
- Tidak boleh disisipkan sebarang bentuk atau perkataan yang lain.
Berdasarkan enam rumusan kata majmuk, kesimpulannya kata majmuk yang dibentuk mestilah lebih daripada satu kata dan perlu mewujudkan satu kesatuan makna. Antara kedua-dua perkataaan yang dimajmukkan itu, tidak boleh diselitkan perkataan lain walaupun tidak berubah makna. Asas pembinaan kata majmuk juga mestilah berdasarkan hukum D-M.
Kata majmuk dapat dibahagikan kepada tiga kelompok, iaitu:
- Rangkai kata bebas
Kata majmuk rangkai kata bebas diwujudkan dengan menggabungkan dua kata atau lebih yang berlainan makna dan mewujudkan satu makna yang baharu. Kata majmuk yang baharu wujud ini tidak boleh diselitkan dengan kata lain walaupun makna tidak berubah. Antara contoh kata majmuk rangkai kata bebas ialah jalan raya, tengah hari, lebuh raya, warga kota, bandar raya, atur cara, susun atur dan lain-lain lagi. Namun demikian terdapat kekecualian untuk kata nama khas iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Keretapi Tanah Melayu. Terdapat juga bentuk kata yang digunakan sebagai gelaran. Walaupun penggunaannya menyalahi hukum D-M, namun diberikan kekecualian. Antara contoh kekecualian kata majmuk ialah Perdana Menteri, Ketua Menteri, Naib Canselor dan lain-lain.
- Istilah khusus
Kata majmuk istilah khusus ialah satu bentuk kata nama yang digunakan secara khusus dalam bidang tertentu yang menggunakan dua kata yang berlainan tetapi mewujudkan satu makna. Antara contoh kata majmuk istilah khusus ialah reka bentuk,
garis pusat, lut sinar, batu kapur, pita suara dan lain-lain lagi.
- Maksud kiasan
Kata majmuk maksud kiasan terdiri daripada simpulan bahasa yang membawa makna yang khusus. Sebab-sebab simpulan bahasa dianggap sebagai kata majmuk ialah kata yang disimpulkan itu mempunyai satu kesatuan yang bermakna. Contoh kata majmuk yang membawa maksud kiasan ialah hati batu, ringan tangan, kaki botol, kaki bangku dan lain-lain.
Walaupun kata majmuk biasanya ditulis secara terpisah, namun begitu terdapat kata majmuk yang ditulis secara berangkai atau sebagai satu perkataan. Kata majmuk ini dianggap telah mantap. Misalnya; kerjasama, bumiputera, kakitangan, suruhanjaya sukarela, pesuruhjaya, matahari, tandatangan, setiausaha, tanggungjawab, warganegara, jawatankuasa, antarabangsa, olahraga dan lain-lain.
Perkataan yang tergolong dalam kata tertentu yang lazimnya ditulis secara bercantum tetapi tidak dianggap sebagai kata majmuk mantap ialah walhal, apakala, barangkali, darihal, padahal, manakala, perikemanusiaan, kadangkala, dinihari, apabila, sukacita, dukacita, hulubalang, peribahasa.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh DR. HAJI AMIR BIN HAJI JUHARI