Kata-kata terakhir ibu sebelum meninggal dunia menjadi perangsang buat seorang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sehingga berjaya meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0.
Menurut pemilik nama Nur Ain Sofea Iqlima Mohd. Baharuddin, dia menzahirkan kesyukuran apabila dapat menunaikan amanat arwah ibunya yang mahu dirinya cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.
Artikel berkaitan: Cari ‘Duit Poket’ Di Kedai Makan, Bekas Calon SPM 2023 Berjaya Peroleh Keputusan 9A!
“Waktu itu saya sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan Semester 3. Sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah ibu pesan supaya saya terus belajar bersungguh-sungguh.
“Selain, jangan jadikan kehilangannya nanti sebagai alasan untuk terus ‘jatuh’,” kata bekas pelajar STPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nasiruddin Shah itu,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut berkongsi pengalaman menjaga ibunya sewaktu terlantar akibat penyakit tiroid di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan, selama hampir sebulan.
Artikel berkaitan: Adik Ubai Berjaya Raih 10A Dalam SPM 2023, Hajat Arwah Ibu Termakbul
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, dia tetap ke kelas setiap hari dengan berulang alik dari hospital ke sekolah sejauh kira-kira 126 kilometer.
“Pada ketika itu, saya membawa buku untuk mengulang kaji pelajaran sambil menjaga ibu di dalam wad.
“Oleh itu, kejayaan hari ini amat berharga buat saya apabila terkenangkan momen menyedihkan itu,” ujarnya lagi.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: K!