Siapa tidak kenal dengan Sofia Jane. Seorang bintang berkaliber yang tidak pernah menghampakan penonton setiap kali karakter yang dilakonkannya muncul di layar skrin.
Bukan impak lakonan sahaja menjadi kegilaan peminatnya, malah kecantikan pelakon filem Kekasih Awal Dan Akhir ini juga acap kali menjadi sebutan ramai.
Sudah menjangkau usia 50-an, raut Sofia bagaikan tidak dimamah usia. Pastinya ada ‘rahsia’ di sebalik keserian dan kecantikan wajahnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Anggun Dan Ayu Pelakon ‘Layangan Putus’ Ini, Berikut Fakta Menarik Tentang Putri Marino
Menurut aktres itu, penjagaan dari segi pemakanan dan aktiviti harian adalah faktor dirinya kekal sihat dan awet muda. Selain itu, dia memaklumkan pengambilan pemakanan yang seimbang juga adalah salah satu langkah menjaga minda dan tubuh badannya.
“Bila saya cakap, tiada orang nak percaya. Namun, ia amat mudah jika kita nak kekal sihat. Bagi saya, saya menjaga diri dari segi pemakanan dan aktiviti seharian kerana saya ingin bekerja dengan lebih lama.
“Untuk minda dan fizikal, saya perlukan tubuh badan dan pemikiran yang berfungsi dengan baik.
“Jadi, saya rasa dari segi itu adalah bukti yang apa yang kita perlu buat adalah eat well, makanan pemakanan yang seimbang,” tuturnya ketika ditemu bual Remaja.
Pada masa sama, selain berlakon bintang naskhah One Cent Thief itu turut berkongsi dia aktif berlari demi menjaga kesihatan yang baik sementelah menjangkau usia yang kini.
“Saya vegetarian, jadi itu adalah cara pemakanan saya. Selain itu, saya tidak tinggal untuk melakukan aktiviti senaman. Saya juga runner setiap empat hingga enam kali seminggu,” kongsinya lagi.
Kekal Disiplin
Tidak boleh menidakkan lagi kehebatan lakonan bintang hebat ini. Meniti dua dekad lebih dalam industri hiburan tanah air, Sofia Jane sudah pun berdiri sama tinggi dengan figura-figura hebat lain.
Berkat menjaga disiplin dalam setiap yang dilakukan sebagai seorang anak seni, tidak hairanlah pelakon ini masih kekal relevan dalam industri perfileman dan drama tempatan.
Kongsi Sofia, setiap insan haruslah menanamkan sikap berdisiplin dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan. Terutama sebagai seorang pelakon, sikap saling hormat menghormati satu sama lain haruslah diutamakan dan penting untuk dilakukan.
“Bagi saya, sesiapa sahaja yang mahu bekerja dengan lebih lama haruslah mengutamakan disiplin. Kita juga perlu ada rasa hormat kepada semua pihak yang kita bekerja, termasuk krew serta mereka di belakang tabir.
“Ia kerana, tanpa mereka, siapalah kita. Kita hanyalah frontliner untuk mereka sebenarnya. Ya, itulah perkara penting yang harus dilakukan
“Selain ada sifat bertanggungjawab , disiplin, sukakan apa yang kita lakukan serta hormat sesiapa sahaja yang ada dikeliling.” jelas Sofia Jane.
Terbaharu, Sofia Jane membintangi siri terbaharu Viu arahan Datuk Abdul Halim, berjudul Nenek Bongkok Tiga. Naskhah tersebut turut dibintangi pelakon handalan lain seperti Hun Haqeem, Syafie Naswip, Fimie Don, Syazwan Zulkifly, Ashraf Muslim, Rykal Iskandar, Sherie Merlis, Sara Ali dan Sara Mack Lubis.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER FOTO: Instagram Sofea Jane & ttfga