Bermula Dari EP ‘Yonny’ Sewaktu Musim Pandemik, Yonnyboii Buktikan Bakat & ‘Idea Gila’ Berbaloi

Share

 

Riak wajah terkejut tidak dapat disembunyikan oleh penyanyi muda, Yonnyboii semasa namanya diumumkan oleh sebagai penerima kategori Album Terbaik semalam di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23.

Mungkin sekali berikutan album penuh berjudul Yonny (versi deluxe) itu berdepan saingan sengit daripada album Di Persiaran Cakrawala (Ramayan); Tuju Untuk Kamu 18/19 (Tuju, Mingaling, Saucie J & Meerfly); Second Voyage (Sekumpulan Orang Gila, Bert Poncet) dan Sesudah Melakar Langit (A.Limin, Amerul Ishraf Adri).

Dengan kemenangan Album Terbaik yang memuatkan sembilan buah lagu ini, Yonnyboii, 24 juga membawa pulang insentif Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik bernilai RM200,000 daripada Kementarian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM). Selain Yonnyboii, Yonny

diterbitkan oleh enam nama besar industri termasuklah Adam E, Freddie Laut, Zachsutton, Vincent88, Mingaling dan Wolfie.

Pada hemat penulis, apa yang menjadikan buah tangan Yonnyboii ini menarik adalah kerana versi album mininya(EP) telah diluncurkan pada tahun 2020 pada era pandemik COVID-19.

Sewaktu penyanyi dan komposer lain teragak-agak untuk mengambil risiko mengeluarkan projek single baharu apatah lagi album baharu, Yonnyboii dan pasukan merealisasikan ‘idea gila’ atas nama berkarya serta sebagai hadiah kepada peminat yang sentiasa memberikan sokongan.

Yonnyboii (tengah) bersama Adam E dan Freddie Laut.

Yonny tampil jujur menerusi kandungan lirik dan irama yang diperkenalkan. Ia seratus peratus mewakili identiti Yonny sendiri dan sarat dengan penceritaan kehidupan; sama ada bersifat metafora ataupun daripada kisah sebenar.

“Alhamdulillah syukur. Lagu-lagu dalam album ini (telah membawa) saya dari underground sampai ke sini. Terima kasih kepada juri AIM23 dan Recording Industry Malaysia (RIM) untuk penghargaan ini.

“Kepada semua yang mendengar dan menyokong lagu saya, terima kasih dari sudut hati saya. Perjalanan kita jauh lagi insyaAllah,” catatnya dalam hantaran di Instagram.

Penyanyi berusia 24 tahun juga berterima kasih kepada isterinya, Nik Nazira yang sentiasa menyokong perjalanan kerjayanya.

Sebelum ini, anak sulung daripada lima beradik ini pernah berkongsi mengenai keberaniannya melawan arus norma dalam dunia hiburan sewaktu musim pandemik. Tambahan pula, Yonnyboii yang mula bergiat aktif sejak tahun 2016 telah menunggu tiga tahun sebelum berjaya menerbitkan album penuh.

80 peratus daripada lagu dalam Yonny merupakan lagu yang dirakam dengan gubahan segar. Di samping itu, ia juga memuatkan dua lagu baharu sebagai trek bonus berjudul Tak Sangka dan Angel.

Ternyata, penantian tersebut amat berbaloi dengan kejayaan meraih kategori Album Terbaik, Ahad lalu. Tahniah!

ARTIKEL BERKAITAN

: Mengaku ‘Lip Sync’ Di Pentas Berprestij AIM23, Kemenangan JANNA NICK Dibayangi Kontroversi – REMAJA

BACA LAGI : Dari Ke-4 Terbaik Ceria Popstar 3 Pada Tahun 2015, Vanessa Reynauld Kini Artis Baru Terbaik AIM – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ