“Bermula Sebagai Ulser Kecil,”-Pelakon CRAZY RICH ASIANS Berperang Melawan Kanser Lidah

Share

Kanser merupakan antara penyakit paling berbahaya di dunia. Tiada siapa yang mahu terkena penyakit ini, namun siapalah kita untuk melawan takdir tuhan. Terbaru, Janice Koh, pelakon Singapura yang terkenal menerusi watak Felicity Young dalam filem popular Crazy Rich Asians telah memaklumkan kepada umum yang dia menghidap kanser lidah.

“Pada penghujung Julai tahun ini, saya telah disahkan menghidap kanser lidah. Apa yang bermula sebagai ulser kecil ternyata menjadi malignan. Diagnosis ini menyebabkan hidup saya terhenti.

“Sepanjang tiga bulan yang lalu, saya telah menjalani dua pembedahan diikuti dengan rawatan sinaran kemo untuk membuang sebarang kanser yang ada dan juga mengurangkan kemungkinan ia kembali,” kongsinya saat pertama kali mengetahui dirinya menghidap kanser lidah.

Janice juga berkongsi ketika mengalami ulser di bahagian mulutnya, dia hanya mengabaikan sahaja dengan beranggapan ia hanyalah biasa sahaja. Kehidupan diteruskan seperti biasa dan dia sempat bekerja dan mengembara seperti biasa.

Saat didiagnos menghidap kanser dunia bagaikan terhenti dan dia seperti tidak percaya dengan apa yang terjadi. Ujarnya, “Bagi saya, seorang pelakon, penemuan tumor ini adalah satu tamparan hebat kerana saya tahu ia akan memberi impak yang besar kepada ucapan dan kerja saya. Namun tidak ada keraguan bahawa keutamaan saya adalah untuk terus hidup dan berada di sisi anak-anak dan keluarga saya untuk jangka masa panjang.

“Jadi saya memberitahu doktor saya untuk melakukan apa yang diperlukan untuk menjadikan saya lebih baik, dan saya bersyukur kerana ia ditemui pada peringkat yang boleh dirawat. Saya amat bersyukur kerana saya mempunyai pasukan doktor dan ahli terapi profesional yang telah menjaga saya, dan juga kepada ahli keluarga, suami dan kawan rapat yang telah membawa saya berulang alik ke temu janji perubatan yang tidak berkesudahan.”

BACA JUGA: Cincin Zamrud ‘Crazy Rich Asians’ Sebenarnya Milik Michelle Yeoh?! Harga Adalah…

Wanita berusia 48 tahun ini bersyukur kerana sepanjang tempoh sukar yang dilaluinya keluarga dan rakan terdekat cuba menceriakan dirinya dengan menyediakan pelbagai jenis makanan termasuklah menghadiahkan buku dan bunga semata-mata untuk menceriakan dirinya dan memastikan berat badannya naik.

Dalam hantaran terbarunya, Janice bergambar dengan ‘cangkerang’ perubatan yang perlu dipakainya saat menjalani proses radiasi untuk membuang sel kanser. “Berikut ialah foto saya pada hari terakhir rawatan saya, mengucapkan selamat tinggal kepada cangkerang saya, acuan yang digunakan untuk membantu menyasarkan kawasan untuk radiasi.

Dengan rawatan kini selesai, tumpuan adalah pada rehat, pemulihan dan bangkit semula. Pertuturan dan pemakanan telah terjejas dengan ketara, tetapi saya telah yakin bahawa ini akan bertambah baik dengan terapi dan masa,” kongsinya panjang.

Ibu kepada dua cahaya mata ini turut berpesan kepada umum, “Jaga kesihatan ya semua. Jika ada sesuatu yang terasa tidak betul di dalam badan anda, sila dapatkan rawatan. Lebih baik tahu awal daripada lambat!”

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber & Kredit foto: Instagram Janice Koh

Published by
Fiezreen