“Bernafas Melalui Kenangan & Cinta Yang Kami Kongsi,” – Adam Didam Dalam Kenangan, Anak Saudara Coret Mesej Indah

Share

Empat tahun lalu, dunia penyiaran digital dan masakan tanah air dikejutkan dengan kematian Allahyarham Adam Didam atau nama sebenarnya Adam Mahamed Ismail. Ketika itu namanya benar-benar popular sebagai seorang pempengaruh media sosial dan cef selebriti yang banyak berkongsi mengenai resipi masakan kepada pengikutnya.

Sebelum menjadikan dunia masakan sebagai kerjaya, Adam merupakan seorang jurutera dalam bidang minyak dan gas pada asalnya. Memiliki ratusan ribu pengikut di laman Instagram ketika itu, tidak keterlaluan jika penulis katakan bahawa sebelum Khairul Aming, we have Adam Didam to guide us in everyday recipes!

Bukan sekadar popular di media sosial, Adam turut menghiasi pelbagai rancangan di kaca televisyen. Penulis sendiri sempat bekerjasama dengan allahyarham selama dua musim untuk rancangan masakan yang disiarkan di saluran Astro Prima iaitu Rasa Ketuhar Kuali menyaksikan Adam begandingan bersama Aunty Aini dan kemudiannya Jelajah Rasa Nusantara meyaksikan Adam bergandingan bersama Ili Sulaiman.

Apa yang boleh penulis katakan mengenai Adam, orangnya cukup lemah lembut apabila berbicara dan sangat ramah!

Beberapa hari lalu, genap empat tahun kematian Adam menurut kalendar Islam pada tanggal 14 Ramadan, anak saudara sulungnya iaitu Omar Mokhtar mencoretkan tinta kata yang cukup indah di laman Instagram milik adam yang masih dikekalkan sehingga hari ini. Meneliti setiap bait kata yang ditulis, jelas terpancar betapa besarnya pengaruh Adam kepada anak saudaranya itu.

“Adakah ia benar-benar sudah empat tahun? Apabila Mamajee @adamdidam meninggalkan kita bertahun-tahun yang lalu pada hari ke-14 dalam bulan suci Ramadan 1440, saya menjangkakan bahawa kami akan menghitung setiap hari yang berlalu, setiap minggu, setiap bulan, setiap tahun, menonton jam berdetik begitu rapat.

“Mungkin itu benar lebih dekat dengan masa, tetapi ia tidak berlaku selama empat tahun ini. Sebenarnya, bagi saya, saya telah hidup seolah-olah Mamajee masih di sini di sebelah saya. Mungkin saya tidak dapat melihatnya, atau kami tidak boleh bercakap antara satu sama lain, tetapi dalam apa jua keadaan, dia masih sebahagian daripada keluarga kami.

“Tiada kehilangan yang boleh mengubahnya. Saya tahu ramai orang akan mengatakan bahawa hidup seolah-olah Mamajee masih berada di sini adalah tidak sihat. Saya tidak bersetuju. Fikiran tentang dia hanya menguatkan kami, ingatan dia menyatukan kami semua. Kami tahu dia telah meninggalkan kami, tetapi bukanlah hilang.

BACA JUGA: Tiga Pelajar Malaysia Berjaya Ke Universiti Harvard

“Sama ada empat tahun dari sekarang, atau empat puluh tahun, dia dan kami, kami adalah satu dan sama, hidup dan bernafas melalui kenangan dan cinta yang kami kongsi. Semoga Allah terus menguatkan kasih sayang kami kepada orang yang kami sayangi – sama ada hidup atau tidak – untuk empat tahun akan datang…dan seterusnya!” tulis Omar Mokhtar.

Imbas kembali, Adam atau lebih mesra digelar mamajee oleh anak saudaranya dahulu cukup popular dalam kalangan warganet di Malaysia. Siapa boleh lupa keletah Omar, Fatimah dan Ali. Biarpun tinggal jauh di United Kingdom, mereka yang fasih berbahasa Kelantan sentiasa mendapat perhatian. Apatah lagi allahyarham bapa saudara mereka kerap berkongsi mengenai mereka di media sosial.

Semoga Allah mencucuri roh Adam dan ditempatkan bersama orang-orang beriman.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fiezreen