Bernilai Lebih RM26 Juta, Mahkota Baharu Bakal Digayakan Pemenang Miss Universe 2022

Share

Organisasi Miss Universe, di bawah kepimpinan baharu JKN Global Group telah memperkenalkan mahkota baharu hari ini bertempat di True Icon Hall di Bangkok, Thailand. Mahkota tersebut akan julung kalinya digayakan oleh pemenang baharu Miss Universe 2022 yang bakal dimahkotakan pada 14 Januari 2023 di New Orleans, Amerika Syarikat.

Digelar sebagai ‘Force for Good’, mahkota ini merupakan hasil idea kreatif jenama perhiasan kemas terkenal, Mouawad. Jenama tersebut juga merupakan pembuat mahkota yang sebelum ini. Dengan rekaan terbaharu, mahkota Force for Good menjadi mahkota ke-12 pertandingan Miss Universe dan mahkota kedua daripada jenama terkenal dunia itu.

Menurut Anne Jakkaphong Jakrajutatip yang merupakan pemilik baharu Miss Universe, mahkota Force for Good itu boleh dilihat sebagai mahkota yang bakal kekal lama. Dia melancarkan mahkota pada acara itu di samping Natalie Glebova, Miss Universe 2005 dan Apasra Hongsakula, Miss Universe 1965.

Mahkota itu dihiasi dengan tatahan berlian dan nilam biru dianggar benilai lebih USD6 juta atau kira-kira RM26 juta. Menjadikan ia lebih mewah, mahkota itu menampilkan nilam biru diraja sebesar 45.14 karat untuk menghiasi bahagian tengah rekaan. Ia melambangkan kebaikan dan harapan untuk masa depan yang lebih cerah.

ARTIKEL BERKAITAN: Miss Universe, Miss USA & Miss Teen USA Kini Milik Billionaire Transgender Asal Thailand

Reka bentuk mahkota itu mencerminkan kepercayaan organisasi Miss Universe bahawa masa depan dunia akan dibentuk oleh wanita yang bersedia untuk menolak semua halangan yang mendatang serta menggalakkan perubahan positif.

Pertandingan Miss Universe kali ke-71 yang akan datang menyaksikan lebih 80 peserta bakal merebut gelaran hebat itu. Malaysia turut akan bertanding menerusi perwakilan oleh Lesley Cheam yang merupakan seorang pengacara.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Published by
Fiezreen