Kekayaan budaya yang ada di Pulau Mutiara, Pulau Pinang merupakan salah satu sebab mengapa ia sering menjadi pilihan para pelancong dari dalam dan luar negara. Biarpun keluasan Pulau Pinang tidaklah seluas negeri lain, masyarakat di sana cukup majmuk dan harmoni hidup bersama satu sama lain.
Sebut saja Pulau Pinang, pasti ramai mudah cam Kuil Kek Lok Si yang terletak di bandar Georgetown ini. Manakan tidak, ia merupakan salah satu destinasi pilihan pelancong dek kerana statusnya sebagai antara kuil paling lama bertahan di Malaysia. 130 years, to be exact!
Juga merupakan salah sebuah kuil Buddha terbesar di Malaysia, Kuil Kek Lok Si kerap dikunjungi para pelancong yang selalu berada di pekarangan kompleks kuil dan mengambil foto dari pelbagai sudut.
Sejak dibina pada tahun 1890, ia menjadi simbol kepada kemakmuran masyarakat Cina di Malaysia. Setiap kali tiba perayaan Tahun Baru Cina, Kuil Kek Lok Si akan bersinar terang dengan 100,000 lampu serta tanglung dinyalakan sepanjang tujuh tingkat kompleks pagodanya yang diberi nama Ban Po Thar.
Justeru, apabila ia dilaporkan telah ‘dijilat api’ dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi, ramai pihak terkejut dan menganggap insiden ini sebagai satu kehilangan kepada sektor pelancongan serta sejarah negara.
Menurut Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong sewaktu dihubungi pihak media, mereka menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.56 pagi. Sebaik tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati salah sebuah kuil di puncak bukit Jalan Balik Pulau – Kampung Pisang, Air Hitam telahpun terbakar.
Kata pegawai operasi Muhammad Norhisyam Ibrahim, dianggarkan 70 peratus daripada keseluruhan bangunan kuil itu musnah. Sehingga kini, kerja pengawalan api masih dilakukan. Nasib baik, tiada kehilangan nyawa yang dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi disiasat.
Apapun, tahniah kepada pihak Bomba atas tindakan pantas memadamkan kebakaran dan mengelakkannya daripada merebak ke kawasan lain.
Kalau korang masih ingat pada tahun lalu, satu lagi kejadian kebakaran yang melanda sebuah hotel terkemuka di Pulau Langkawi pernah mengejutkan seluruh negara.
ARTIKEL BERKAITAN : Resort 5 Bintang Di Langkawi Terbakar – REMAJA