Istana Pasir Tertinggi Dunia Baharu Bertemakan COVID-19

Share

 

Sebuah struktur istana pasir di Denmark telah mencatatkan rekod Guinness dunia baharu sebagai istana pasir paling tinggi pernah dibina.

Pada ketinggian 21.16 meter, ia berdiri pada kedudukan 3.5 meter lebih tinggi berbanding istana pasir di Jerman yang pernah memegang rekod ketinggian 17.66 meter dari 2019 – 2021.

Istana pasir ini telah disiapkan oleh seorang pengarca berpengalaman dari Belanda, Wilfred Stijger bersama-sama 30 orang pembantu di sebuah perkampungan kecil tepi laut bernama Blokhus.

Wilfred dikatakan mendapat inspirasi daripada – tidak lain tidak bukan – wabak COVID-19 yang sedang melanda dunia.

Struktur asasnya berupa sebuah piramid. Ia kemudian dipenuhkan dengan 4860 tan pasir. Setelah bentuk asas itu siap, Wilfred mula mengukir imej-imej menarik seperti sekumpulan manusia yang sedang menunggang basikal, corong menara istana, karakter ‘cupid’, ikan, rumah ap, binaan kubu di sekelilingnya dan macam-macam lagi.

Turut tidak ketinggalan adalah sebuah mahkota di bahagian teratas. Ia adalah simbol kepada wabak COVID-19. Kata Wilfrid, simbol itu membawa maksud wabak berada di mana-mana saja dan sedang mengawal kehidupan penduduk dunia yang tidak mampu berbuat apa-apa serta tidak boleh bertemu keluarga sendiri.

Wilfred Stijger

Supaya istana pasir ini boleh bertahan lebih lama, pasir yang digunakan telah dicampurkan dengan 10 peratus bahan tanah liat.

Bukan itu saja, apabila keseluruhan istana telah disiapkan, Wilfred mengukuhkannya lagi dengan menyapu gam (adhesive) di atas pasir agar ia mampu bertahan sehingga tamat musim sejuk, iaitu kira-kira pada bulan Februari tahun hadapan.

Haihh, dah lama betul tidak bermain dengan pasir seperti ini. 

Published by
FZ