Besarkan Gadis Islam, Nenek Cina Ini Terima Anugerah Maulidur Rasul

Share

Gadis yang kisahnya pernah tular kerana ditinggalkan ibu tanpa kerakyatan ketika masih bayi dan dibesarkan oleh wanita berbangsa Cina.

ARTIKEL BERKAITAN : Dibesarkan Dalam Masyarakat Melayu, Kefasihan Mekyun ‘Kecek Kelate’ Curi Perhatian Warganet

Rohana Abdullah juga tular di media sosial selepas pendedahan gadis berusia 22 tahun ini mengalami kesukaran untuk menjalani kehidupan seperti orang biasa disebabkan sejarah hidupnya.

Tapi gadis ini bertuah kerana bertemu dengan Chee. Sepanjang 22 tahun, Rohana dijaga dan dibesarkan oleh Chee Hoi Lan yang merupakan seorang bekas guru tadika. Bukan itu sahaja, Chee Hoi Lan juga mengikut cara Islam sepenuhnya sepanjang Rohana berada di bawah jagaannya.

Malah, Chee Hoi Lan dipilih menjadi penerima Anugerah Maulidur Rasul tahun baru-baru ini. Wanita Cina yang berumur 83 tahun itu atau mesra dipanggil Laoshi dipilih sebagai penerima Anugerah Ibu Sejati-Keluarga Malaysia sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Chee menerima anugerah yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ini berikutan kecekalannya menjaga seorang anak angkat yang beragama Islam bernama Rohana Abdullah sejak berusia dua bulan. Tambahan pula, dia memastikan anak angkatnya itu membesarkan sebagai wanita Islam.

Demi kasih sayangnya terhadap Rohana, wanita itu sanggup mengeluarkan wang demi memastikan anak angkatnya dapat belajar serta mendalami syariat Islam. Chee berusaha memastikan Rohana tidak tercicir dalam mendapatkan pendidikan sebagai orang Islam dengan mendaftarkan Rohana untuk Kelas Asas Fardu Ain (Kafa).

Wanita ini tidak pernah menjadikan perbezaan budaya dan agama sebagai penghalang untuk dia menumpahkan kasih sayang kepada Rohana seperti anak sendiri.

Penganugerahan itu diumumkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Selain itu, Rohana sebelum ini tidak mempunyai kerakyatan telah dianugerahkan kerakyatan Malaysia pada April lepas setelah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Melalui kisah ini, penulis berharap kita semua akan dapat mengutip suatu ilmu baharu dan menjadikan ia sebagai tauladan berhubung soal perpaduan dan kasih sayang sesama insan.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Nana