Kita sering dimomokkan dengan cerita-cerita pelik berkaitan mayat dalam filem-filem seram yang ditayangkan di pawagam. Dalam beberapa adengan, dapat dilihat mayat membuka mata, ada juga digambarkan mayat bangun akibat dilangkah kucing hitam yang banyak dipercayai oleh orang-orang Melayu bahawa jenazah ini memiliki ilmu hitam.
Namun persoalannya, adakah benar badi mayat itu wujud sebagaimana dakwaaan orang tua-tua dahulu atau ia sekadar mitos masyarakat?
REMAJA menemuramah Ustaz Mohamad Riduan bin Mat Isa, 41 tahun yang sudah lebih 10 tahun terlibat dalam pengurusan jenazah di Masjid Al-Najihin, Bandar Sri Permaisuri Cheras, Kuala Lumpur.
Sebagai pengurus jenazah, Ustaz Mohamad Riduan menjelaskan kerjayanya memberikan dirinya peluang oleh Allah SWT untuk melihat 1001 satu kejadian dalam urusan fardu kifayah yang bukan semua pihak merasainya.
Biarpun sering berhadapan dengan pelbagai keadaan jenazah sama ada sempurna atau tidak sempurna seperti mangsa kemalangan ngeri dan lain-lain namun seperti katanya urusan fardu kifayah ini diteruskan dengan satu niat iaitu kerana Allah taala.
“Bila terlibat dalam pengurusan jenazah, kita akan jumpa pelbagai keadaan jenazah. Ada kes bunuh diri, ada kes kemalangan ngeri, ada mangsa bunuh dan lain-lain lagi. Biasa bagi kes bunuh diri, lidah jenazah akan terjelir keluar sedikit namun kita menolaknya bagi jenazah tampak sempurna.
“Bagi kes kemalangan ngeri pula, kalau tubuhnya hancur, kita akan tapis isi-isinya yang kita sudah curah air dan kemudian dibungkus dalam satu bungkusan kain lain dan kita letakkan di sisi jenazah sebelum dikapankan isi hancur itu bersama,” katanya sambil menambah bagi kes bunuh diri yang pernah diuruskannya, biasanya keadaan mayat sudah agak keras di mana dirinya akan membaca beberapa surah tertentu bagi melembutkan tubuh terutama proses mengiam jenazah.
“Biasanya saya akan panggil namanya diikuti bacaan surah tertentu. Walau pun kita perlu berlemah lembut dengan jenazah tapi ada kala kita kena tarik sedikit lengannya untuk memudahkan proses qiam. Kalau tangan agak terbuka, sebenarnya susah semasa proses mengapan dan urusan menanam kerana kita perlu iringkan jenazah betul-betul mukanya mengadap kiblat. Kalau tangannya agak terdepang, susah untuk proses mengiring itu,” katanya berkongsi pengalaman sebagai pengurus jenazah.
Betul ke ada badi mayat?
Ramai yang percaya, ada badi mayat namun Ustaz Mohamad Riduan, dia lebih senang menggelarnya sebagai pendamping.
“Maksud di sini, orang yang meninggal ini ada pendamping semasa hidupnya. Dia mungkin belajar ilmu yang salah. Ada juga sebut saka. Tapi sepanjang 10 tahun pengalaman menguruskan jenazah, belum pernah saya berhadapan keadaan menakutkan ini lagi.
“Tapi ada kawan saya yang menguruskan satu jenazah wanita yang sudah berusia di mana ketika proses memandikannya, tiga kali jenazah membuka matanya. Buka dalam sesaat dan kemudian tertutup kembali. Tiga kali situasi ini berulang seolah-olah untuk menakutkan pengurus jenazah namun selepas dirinya membaca beberapa surah tertentu, situasi jadi agak tenang. Apa kesudahannya keadaan jenazah wanita itu saya tak tahu kerana dia maklum begitu saja dan saya tak tanya lebih lanjut.
“Tapi setahu saya, saka atau pendamping ini biasanya akan menggangu perawat-perawat sahaja kerana saka berasa terancam ketika proses berubat berbanding keadaan tuannya sudah menjadi jenazah,”katanya yang suka menggalakkan anak muda melibatkan diri dalam pengurusan jenazah kerana ia fardu kifayah yang dituntut.
Dalam pada itu Ustaz Riduan turut berkongsi kisah rakannya seorang pemandu van jenazah yang pernah diganggu lembaga wanita menyeramkan iaitu sebelah dari mukanya cukup hodoh dan sebelah dalam keadaan baik ketika menghantar satu jenazah wanita ke kampung halamannya.
“Peristiwa itu agak menakutkannya dan dia berkongsi cerita itu kepada saya. Namun secara sendirian saya tak pernah alami lagi hal-hal dianggap menakutkan ketika pengurusan jenazah,”katanya ketika ditemui.