Trend remaja mencari duit sendiri di bangku sekolah adakalanya dipandang serong oleh segelintir masyarakat. Ramai beranggapan, jika sudah mula pegang duit, pelajaran akan mula diabaikan. Betul ke? Jom tanya seorang dari finalis Dewi Remaja 2018/2019 iaitu Syarifah Haneesha binti Sayed Sahlan, 18, yang mesra disapa Haneesya Hanee.
Baru berusia 18 tahun, nama Haneesya mula dikenali sebelum dirinya memasuki pertandingan Dewi Remaja lagi apabila drama lakonannya sebagai Zaza dalam Cik Reen Encik Ngok Ngek lakonan bersama Ficry Ibrahim dan Farah Nabilah yang menjadi trending di tv.
Rezeki ternyata menyebelahi model ini apabila terpilih sebagai top 12 Dewi Remaja yang akan memulakan episod pertama pada 25 November ini jam 10.30 di saluran Astro Ria dan Ria HD.
Jom kita tanya Haneesya atau mesra disapa Hanee tentang remaja bekerja di usia muda? Betul ke kalau dah pegang duit tak minat nak belajar lagi?
“Bagi Hanee, semua itu bergantung kepada niat seseorang. Hanee sendiri mula mencari duit pada usia 15 tahun. Ketika itu Hanee dah start buat modeling, pergi foto shoot dan sebagainya. Tak pula Hanee tak habiskan sekolah.
“Niat Hanee ketika itu hanyalah untuk beri kesenangan kepada keluarga. Hanee nak beri mereka kesenangan kerana kami bukan orang senang. Sejak kecil keluarga Hanee sudah bercerai dan hanya mak mencari duit sendiri. Bila dah remaja, Hanee nekad nak bantu keluarga dengan usaha Hanee,” katanya memaklumkan, dia bahagia apabila dapat membahagiakan ibunya di samping dua lagi adiknya.
Jelas Haneesya Hanee, perjalanan hidup seseorang tidak sama. Ada yang perlu berusaha keras untuk mengubah nasib dan ada yang sudah dilahirkan dengan kesenangan ketika lahir. Namun takdir seseorang itu boleh diubah asalkan berusaha kerana untuk mengubahnya,” katanya ketika dihubungi.
Jika dirinya boleh dan tidak mengabaikan pelajaran, nasihat Haneesya Hanee buat remaja yang mencari duit sendiri di usia ini, boleh teruskan asal kita tahu apa matlamat dan tujuan hidup.
Dalam pada itu, jelas Haneesya dia percaya individu yang berusaha keras akan mencapai kejayaan dalam hidup.
“Bidang peragaan dan lakonan yang Hanee buat sekarang ialah mencipta pengalaman dan cuba meraih peluang dalam bidang seni. Hanee melihat pertandingan Dewi Remaja ini sebagai satu batu loncatan untuk memperluaskan lagi pengalaman khususnya dalam bidang seni yang menjadi minat utama Hanee,” katanya yang mahu orang ramai tidak mengenalinya sebagai Zaza sebagaimana lakonannya dalam drama tersebut tetapi orang mengenalinya sebagai Haneesya Hanee yang serba boleh.
“Ya, memang susah nak larikan “nama” yang dikenali tapi Hanee mahu orang lebih mengenali Hanee kerana bakat sedia ada,” katanya yang sentiasa berusaha keras demi mencipta masa depan. Masa yang sama, soal warna kulit yang sering dijadikan perbandinagn Haneesya Hanee mempunyai pandangannya yang tersendiri. Jelasnya, That skin colour doesn’t determine how Beautiful a person is”.
Untuk kenali Haneesya Hanee lebih dekat, jom tanya dia fobia pada apa?
Kata Hanee, dia sangat fobiakan tempat gelap. Rasa takutnya itu terlampau-lampau dan dia sendiri tidak dapat mengawal keadaan jika diletakkan dalam gelap.
“Fobia gelap ini mula dirasai ketika Hanee bermimpi diletakkan dalam bilik gelap dan terkurung. Cuma mimpi ketika itu tapi rasa ketakutan itu berlarut-larut di luar mimpi,”jelasnya.
Ditanya apa impiannya mengenai Dewi Remaja, jelasnya sama seperti peserta lain, semuanya berimpian untuk bergelar Dewi Remaja dan diratukan sebagai Dewi pada akhir pertandingan.
“Bagi Hanee semua orang ada impian. Hanee juga begitu kerana melalui pertandingan Dewi Remaja ini banyak bakat-bakat besar muncul dalam industri. Hanee berusaha keras untuk mengapainya,’ katanya yang berkebolehan menari tardisonal dan moden kontemporari serta ingin mewujudkan kesedaran tentang Dyslexis, Scoliosis dan Thalasessemia.