Kemelut rumah tangga dengan kehadiran beberapa orang skandal antara Bella Astillah dan Aliff Aziz terus hangat diperkatakan di ruangan media sosial pada minggu ini sehingga nama-nama selebriti di sekeliling dua figura itu turut dipetik untuk mendapatkan pandangan mereka terhadap isu tersebut.
Salah seorangnya adalah penyanyi dan pelakon, Wani Kayrie yang merupakan sepupu kepada Bella Astillah.
Ketika ditemui REMAJA pada acara sambutan ulang tahun jenama NUVIT keenam di ibu negara minggu ini, Wani, 23 enggan terlalu masuk campur dalam urusan hal rumah tangga orang biarpun ahli keluarga sendiri demi menghormati privasi mangsa keadaan.
Kongsi Wani, biarpun Bella Astillah ialah sepupunya, dirinya sendiri tidak tahu secara mendalam kronologi yang berlaku di antara Bella dan Aliff justeru mengambil pendirian untuk enggan komen terlalu banyak berkenaan isu ini agar tidak mengeruhkan lagi keadaan.
Biarlah Orang Rapat Sahaja Tahu
“Saya hanya mendoakan yang terbaik untuknya. Saya ada hantarkan mesej kepadanya dan berharap semoga urusannya dipermudahkan. Apa-apa yang berlaku, biarlah orang rapat sahaja yang tahu.
“Selebihnya, benda yang tidak perlu diberitahu jangan beritahu kepada orang ramai kerana orang tidak tahu apa yang kita lalui. Yang penting, kita harapkan doa orang ramai. Secara peribadi, saya tiada hak untuk menjatuhkan hukuman ke atas sesiapa,” katanya.
Sebagai info, pemilik nama penuh Syazwani Abdullah itu sebelum ini pernah bergandingan dengan sepupunya, Bella Astillah ketika menyertai program realiti nyanyian, Famili Duo musim kedua dan mengakhiri saingan mereka di tempat ketiga.
Semasa penglibatan mereka itu jika korang masih ingat, pernah timbul ura-ura rumah tangga Bella dan Aliff bergelut sudah. Namun, Bella tetap bersikap profesional dan meneruskan perjuangan bersama-sama Wani di pentas Famili Duo.
Kongsi Wani, Bella pernah berkongsi dan meluahkan perasaan kepadanya sewaktu itu dan sehingga kini jika ada sesuatu yang terbuku di hatinya. Cuma, Wani kekal dengan prinsip untuk tidak mencampuri urusan rumah tangga orang lain.
“Saya setakat mendengar sahaja kerana saya pun belum berkahwin dan tidak boleh komen banyak Saya turut bersimpati apa yang berlaku ke atasnya. Semuanya (kini) terpulang kepada Kak Bella.
“Dia lebih tahu apa yang terbaik untuknya dan just do it.,” katanya.
Terdahulu, Wani Kayrie telah mengharumkan nama negara sebagai wakil tunggal di acara Asian TV Awards yang berlangsung di Vietnam, tahun lalu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.