Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Nampaknya percaturan organisasi ratu cantik Afrika Selatan menghantar Lalela Mswane sebagai peserta Miss Supranational 2022 menjadi apabila gadis berusia 25 tahun ini dinobatkan sebagai juara.
Menerusi kemenangannya ini, dia menjadi peserta pertama dari Afrika Selatan berjaya memenangi mahkota tersebut.
Sebelum ini, sebagai pemenang Miss South Africa 2021 dia telah di hantar untuk mewakili negaranya ke pentas Miss Universe 2021. Biarpun penyertaannya ketika itu menuai kritikan kerajaan dan segelintir rakyat negaranya sendiri dek pertandingan yang di adakan di Israel, namun dia tidak mengalah dan akhirnya bergelar pemenang tempat ketiga.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Afrika Selatan Boikot Pertandingan Miss Universe 2021. Tidak Akan Sokong Wakil Negara
Siapa sangka dari pemenang tempat ketiga, kini dia menjuarai sebuah pertandingan ratu cantik lain yang turut sama memiliki prestij yang tinggi. Sudah menjadi pilihan ramai sebagai salah seorang peserta mega-favourite, Lalela menembusi kesemua halangan dari peringkat top 24 ke top 12 sehingglah top 5 sebelum diumumkan sebagai juara.
Saat berada di peringkat lima terbaik, dia telah ditanyakan soalan berkenaan mengapa manusia takut kehilangan perkara yang mereka tidak miliki. Lalela menjawab, “Saya fikir ia berpunca daripada ketakutan mengenai kesempurnaan, atau tekanan dunia dan cuba mencari kebahagiaan yang tidak dimiliki.
“Orang ramai cenderung mengalami rasa tidak puas hati dengan apa yang mereka ada, jadi saya fikir kita perlu mengubah mentaliti tersebut. Sikap bersyukur harus menjadi sesuatu pegangan yang kita tanam dalam diri setiap hari.”
ARTIKEL BERKAITAN: Tak Kenal Erti Kalah, Praewannich Ruangthong Kini Bergelar Miss Supranational Thailand 2022
Pertandingan yang diadakan buat kali ke-13 ini menyaksikan wakil Thailand, Praewannich Ruangthong dikedudukan naib juara manakala wakil Vietnam, Nguyen Huynh Kim Duyên pula ditempat ketiga. Melangkapkan senarai top 5 ialah wakil Indonesia, Adinda Cresheilla dan wakil Venezuela, Ismelys Velásquez, mereka masing-masing berada di kedudukan keempat dan kelima.
Untuk edisi ini, seramai 69 peserta dari seluruh dunia terbang ke Poland untuk bertanding. Wakil negara kita, Melisha Lin hanya berjaya mara bergelar peserta top 24 sebelum gagal untuk ke peringkat top 12.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.