Hari ini sudahpun memasuki hari kelima umat Islam di Malaysia berpuasa. Kemeriahan dan kenikmatan Ramadan jelas terasa. Bazar Ramadan kembali meriah pasca pandemik Covid-19, masing-masing berpusu-pusu demi membeli juadah kegemaran masing-masing.
Jika diimbas kembali nostalgia Ramadan sejak penulis masih lagi di bangku persekolahan, ada satu rancangan yang sentiasa dinantikan saban tahun. Program masakan Ketuk-Ketuk Ramadan cukup ikonik! Mana tidaknya, dengar lagu runut bunyi rancangan ini sahaja membuatkan suasana menjadi lebih ceria.
Biarpun sudah melabuhkan tirai pada 2019 setelah 15 tahun menemui penonton, rancangan masakan popular kendalian Sheila Rusly ini cukup mencuit hati dan menarik perhatian. Apatah lagi bagi mereka yang mahu resipi-resipi baharu untuk dicuba.
Disiarkan di saluran TV1, Ketuk-Ketuk Ramadan menjadi rancangan masakan dengan tontonan tertinggi di bulan Ramadan. Konsepnya cukup bersahaja dan tidaklah terlalu ‘di pentaskan’. Dari memasak di taman ke pasar tani sehinggalah di dalam supermarket, Ketuk-Ketuk Ramadan kekal relevan
Menampilkan ramai tetamu jemputan dari kalangan selebriti dan penggiat seni tanah air, Ketuk-Ketuk Ramadan menjadi pilihan seisi keluarga terutama golongan ibu yang berada di rumah. Mengimbas kembali mengapa rancangan ini dihentikan, menurut laporan media, selain program yang sudah terlalu lama, salah satu punca lain adalah kos yang meningkat saban tahun.
Seperti dikongsikan oleh Jinggo, pengarah rancangan tersebut, “Selain Sheila yang penat ke sana kesini mencari resipi, punca lain adalah kos penerbitan program ini yang bertambah. Sejak lima tahun kebelakangan ini, kita cuba bertahan mencari penajaan dan sebagainya. Bayangkan untuk episode Syawal sebelum ini menelan belanja hampir RM300 ribu.”
Walaupun rancangan ini sudah tidak lagi disiarkan, sesekali ada warganet yang memuat naik klip video Ketuk Ketuk Ramadan di laman media sosial membuatkan hati tergamit dengan nostalgia lalu. Ya lah, 15 tahun bukan masa yang singkat! Apa yang pasti irama rancangan ini tetap segar sehingga kini.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.