Nampaknya, inisiatif Pemuda UMNO Putrajaya untuk mengagihkan 2,000 ekor ayam secara percuma semalam telah mengundang situasi ‘backfire’ di kalangan warganet.
Menurut laporan SINAR HARIAN, keadaan trafik di Presint 9 Putrajaya terhenti pada hari Jumaat apabila lebih daripada 2,000 orang bergegas ke sana bagi mendapatkan seekor ayam beku secara percuma.
Sambutan luar biasa itu ternyata tidak dijangkakan.
Malah Naib Ketua Pemuda UMNO Putrajaya iaitu Mohd Zushaidey Zulkifli berkata pihaknya pada peringkat awal bercadang untuk mengagihkan dua ekor ayam bagi setiap penerima.
Namun memandangkan terlalu ramai yang datang, kuota itu dikurangkan kepada seekor seorang dan cara pengagihan juga dilakukan secara ‘drive-through’ demi memastikan kesesakan tidak berlarutan.
Memang benar, kebenaran rasmi telah didapatkan oleh kumpulan tersebut daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak polis. Malah, niat mereka untuk membantu mengurangkan bebanan masyarakat di Putrajaya, khususnya pada musim pandemik ini amatlah dihargai.
Namun pengagihan tersebut dianggap sebagai acara yang kurang bersesuaian untuk diadakan pada masa sekarang.
Malah ada juga pihak yang mendapatinya kurang sensitif terhadap usaha kerajaan yang ingin melandaikan angka kes positif COVID-19 di seluruh negara.
Apa pendapat korang?
Adakah isu ini hanyalah isu kecil yang diperbesar-besarkan? Ataupun ia seharusnya ditangguhkan sehingga waktu yang lebih sesuai?