Nampaknya mulai malam tadi sebaik pengumuman penyanyi Zamani masuk ke pertandingan akhir Gegar Vaganza musim 5 , netizen mula “bergaduh” di media sosial.
Ramai yang mempertikaikan kemenangannya menduduki carta ke lima kerana semasa batlle pertama, Zamani dilihat seakan terlupa lirik Dekat Padamu nyanyian asal Yusry Abdul Halim. Malah juri tetap Datuk Ramli MS sampai tak mampu memberikan kata-kata selepas menyaksikan persembahan akhir penyanyi itu.
Namun semasa sidang akhbar sebaik program hiburan ini tamat, Zamani menjelaskan dia bukannya lupa lirik sebaliknya berkata dia gagal mendengar alat pendengaran atau “earpiece” ketika mahu menyanyi.
“Masalah sebenar saya tak pasti. Apa yang boleh saya katakan, saya tak dengar apa-apa dari “earpiece” ketika itu,” katanya yang tak mahu menyalahkan sesiapa termasuk pihak produksi tetapi menyalahkan dirinya.
Datuk Ramli dalam penjelasannya berkata, dia memotong markah Zamani dengan banyak pada pusingan pertama tapi memberikan markah yang banyak pada pusingan kedua sehingga penyanyi itu meneruskan langkah ke pusingan akhir yang akan diadakan Ahad 18 November minggu depan.
Berbalik kepada masalah lupa lirik seperti tanggapan awal kebanyakan penonton, REMAJA sempat menemuramah dua penyanyi iaitu Kaka Azraff dan Tajul mengenai masalah lupa lirik dan pernahkah mereka alaminya dan cara mengatasinya.
Menurut Kaka yang popular dengan lagu Bawaku Pergi feat dengan Zizan termasuk lagu Sibuk yang tengah meletup sekarang, masalah lupa lirik adalah biasa bagi anak seni.
“Kadang kalau pertandingan secara mingguan, kita memang ada masa yang singkat nak hafal. Kena pula lagu orang lagi susah. Kaka pernah alami situasi ini. Ada ketikanya nak cover, Kaka ulang balik lirik yang disebut sebelum ini. Kadang Kaka tambah lirik sendiri,” katanya berkata, lupa lirik adalah normal bagi penyanyi sepertinya.
Dalam pada itu, jelas Kaka apabila berhadapan dengan situasi itu, dia akan cepat “cover” agar tidak kelihatan janggal dan sebagai penyanyi mereka perlu bersedia apa sahaja,” katanya yang kini berada di Jakarta.
Dalam pada itu, penyanyi Tajul juga mengakui lupa lirik adalah perkara biasa dialami oleh artis.
“Saya juga pernah alami tapi tak boleh panik, nanti orang perasan. Paling penting kena maintain dan nyanyi apa saja,” katanya berkata masalah lupa lirik ini paling kerap berlaku bila menyanyikan lagu bernada tinggi.