Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengumumkan pelancaran single terbaharu berjudul ‘Sejarah’ selepas dinobatkan sebagai Biduanita Negara.
Menerusi perkongsian di Instagram, Siti Nurhaliza berkata beliau ingin mengabadikan perjalanan seninya menerusi karya komposer tersohor Indonesia Erwin Gutawa, setiap detik manis dan penghargaan diraih dalam kariernya dipaparkan pada kulit lagu album tersebut.
“Sejarah perjalanan seni saya selama ini saya abadikan sebahagiannya pada cover art single Sejarah. Lagu Sejarah sudah boleh dilanggan dan strim di seluruh platform digital”
Sebelumnya, Siti Nurhaliza atau lebih mesra digelar TokTi menyifatkan anugerah diberikan kepadanya bukan sekadar pengiktirafan terhadap kerjaya seninya, tetapi turut didedikasikan buat semua pejuang seni tanah air.
“Pertama sekali, dengan penuh keinsafan dan rendah diri, saya ingin menzahirkan rasa syukur tidak terhingga atas penganugerahan Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024,” katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada ramai pihak termasuk kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Komunikasi di atas anugerah tersebut.
“Saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga dan dihargai kerana inilah warisan yang perlu dipelihara,” katanya menerusi satu kenyataan.
Pelantun lagu Bukan Cinta Biasa yang kini berusia 45 tahun itu merupakan individu ketiga dianugerahkan gelaran tersebut selepas Allahyarhamah Datin Saloma pada 1978 dan Allahyarhamah Datuk Hajah Sharifah Aini pada 2006.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.