Bila sakit, berlaku kemalangan dan sebagainya, hospitallah tempat dituju. Dalam masa menanggung kesakitan dan bila selesai mendapat rawatan, ada ketikanya kita sendiri terperanjat dengan bil yang diterima.
Jumlahnya mungkin mencecah ribuan atau ratusan tetapi ia tetap perlu dibayar kerana kita berhutang dengan pihak hospital. Jika tak bayar nantikan saja surat peguam. Bila sebut peguam dan ada tindakan mahkamah, sudah tentu ada perasaan gentar dan pembayaran akan dilakukan dengan segera. Betul tak?
Kalau mempunyai kad insuran, bolehlah juga digunakan kerana pihak insuran akan melunaskan semuanya. Kad-kad insuran ini banyak diguna pakai di hospital swasta berbanding hospital kerajaan tetapi bukan semua orang pun mampu membayar premium tersebut dengan pelbagai alasan sendiri.
Carian Remaja mendapati, polisi rawatan percuma ini diberikan kepada 18 kategori yang layak menerima rawatan percuma di hospital-hospital kerajaan dan Pusat Perubatan di seluruh Malaysia.
Buat masa ini bayaran RM1 dikenakan bagi pesakit luar dan RM5 bagi rawatan doktor pakar di hospital-hospital kerajaan seperti HKL, HTAR Klang, Hospital Serdang, Hospital Sg Buloh dan banyak lagi. Tapi jumlah ini berbeza jika melakukan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Pusat Perubatan HUKM di Cheras yang mengenakan kos RM5 bagi pesakit luar dan RM15 bagi bertemu doktor pakar.
Jom semak 18 kategori yang diberikan rawatan secara percuma di hospital kerajaan bagi kategori rawatan pesakit luar / pesakit dalam (kemasukan masuk wad). Bagi sesetengah kes, mungkin memerlukan alat sokongan tambahan seperti besi dan ubatan yang tidak disediakan oleh pihak hospital dan semua ini perlu dibeli sendiri.
PEKERJA KERAJAAN – Siapa yang layak? Diri sendiri, suami/isteri, ibu bapa/ penjaga yang sah di sisi undang-undang, anak di bawah usia 21 tahun, masih belajar, bujang dan anak daif/ cacat. Atas 21 tahun tak boleh ya. Jangan lupa bawa surat jaminan majikan dan kalau pelajar, dapatkan surat pengesahan dari sekolah. Dalam kategori ini Ahli Dewan Undangan Negeri pun layak ya!
KATEGORI PENCEN – Siapa yang layak? Diri sendiri, suami/isteri, anak bawah 21 tahun, anak cacat. Dalam kategori ini, mak/ ayah/ penjaga yang sah tak dapat ya
PESARA KWSP (UMUR WAJIB) – Siapa yang layak? Diri sendiri, suami/isteri, anak bawah usia 21 tahun (bujang & masih belajar), anak daif/ cacat. Lebihnya bayar sendiri.
GURU AGAMA RAKYAT, SEKOLAH INTEGERASI & KAFA– Siapa yang layak? Bagi kategori ini, bukan saja diri, suami/ isteri, ibu bapa/ penjaga, anak di bawah usia 21 tahun, belajar dan bujang, anak daif/ cacat. Kalau umur 21 tahun ke atas tak boleh tau.
PELAJAR ( WARGANEGARA SAHAJA) – Siapa yang layak?
i)Sekolah penuh bantuan kerajaan. Untuk percuma bagi kategori pesakit dalam dan luar, ia tertakluk kepada perkara 1(a), (b) dan (c). Tapi ada sedikit perbezaan di sini bagi perkara 1 (a), (b) dan (c). Misalannya pembedahan dan sebagainya. ia perlu dibayar
ii) Sekolah swasta. Ada 2 terma di sini iaitu percuma dan tidak.
iii) Sekolah agama rakyat – juga ada dua terma
iv) Sekolah agama integrasi – juga ada dua terma
v) Institut Perguruan, Kementerian Pelajaran Malaysiavi) Tajaan Kementerian Kesihatan Malaysia (jika ditawarkan sebagai kajian pesakit semuanya percuma)
vii) Politeknik, Institut Kemahiran Mara, Institut Kemahiran Belia Negara dan Kolej Komuniti – ada 2 terma
ix) Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) – tertakluk 2 terma
x) Institut Pengajian Tinggi Swasta – tertakluk 2 terma
Pelajar bukan warganegara- semua perkhidmatan adalah berbayar dan caj adalah sekali ganda dari caj warganegara
GOLONGAN KURANG UPAYA – Siapa yang layak? Pemegang kad OKU sahaja. Hanya untuk diri sendiri sahaja tidak termasuk ubat khas dan peralatan.
PENERIMA BANTUAN – Siapa yang layak? Lembaga Zakat, Baitulmal & Majlis Agama Islam Negeri. Bagi penerima bantuan bulanan seperti golongan asnaf, miskin dan mualaf rawatan bagi pesakit dalam dan luar adalah percuma. Bawa saja surat pengesahan dari Lembaga Zakat, Baitulmal atau Majlis Agama Islam Negeri. Ini termasuk suami/ isteri dan anak-anak berusia 18 tahun dank e bawah. Kelayakan hanya dalam tempoh bantuan sahaja tidak termasuk ubat khas dan peralatan.
Namun bayaran percuma ini tidak berhak diterima oleh PENERIMA BANTUAN BULANAN KEWANGAN kerana perlu dibayar tetapi biasanya bayaran itu datangnya ditanggung oleh Lembaga Zakat, Baitulmal atau Majlis Agama Islam Negeri. Ia hanya untuk diri sendiri sahaja dan tertakluk kepada syarat-syarat yang dinyatakan di dalam surat bantuan.
PENERIMA BANTUAN BULANAN JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT – Siapa yang layak?
i)Bantuan Am *
ii)Bantuan orang tua *
iii)Bantuan kanak-kanak ***
iv)Bantuan pesakit terlantar **
v) Tidak berupaya kerja*
Nota :- Wajib bawa Salinan kad bantuan dan buku bank terkini. Bayaran perubatan percuma ini boleh dinikmati termasuk suami/ isteri dan anak-anak di bawah usia 18 tahun. Kelayakan hanya dalam tempoh bantuan sahaja (bagi bintang *)
** Hanya untuk diri sendiri sahaja dan hanya dalam tempoh bantuan diterima
*** Hanya pada penama yang menerima bantuan dan anak-anak yang dinyatakan di dalam surat kelulusan JKM
PENGHUNI RUMAH KEBAJIKAN BANTUAN PENUH KERAJAAN – Siapa yang layak? Rumah anak yatim, Rumah orang-orang tua, Pusat pemulihan akhlak dan Pusat Pemulihan Dadah (Agensi Anti Dadah Kebangsaan – Cure & care. Bawa saja surat sokongan dari rumah kebajikan ya.
ORANG ASLI – Siapa yang layak? Kalau bekerja kena bayar ya tapi kalau tak bekerja, semuanya percuma. Tapi jangan lupa bawa surat pengesahan tidak bekerja dari JHEOA.
PENGIDAP PENYAKIT BERJANGKIT YANG DIWARTAKAN OLEH KERAJAAN – Siapa yang layak? Kalau korang disahkan mengidap DENGGI dan TUBERCUIOSIS (TB), atau orang sebut-sebut sebagai BATUK KERING, semuanya adalah percuma ya.
KES POLIS – Siapa yang layak?
BANDUAN – Dokumen sokongan yang diperlukan ialah surat dari Jabatan penjara. Namun kos percuma ini tidak meliputi kos ubat khas dan peralatan yang perlu dibayar juga
BEKAS TENTERA – Siapa yang layak?
Kategori 1 – Telah berkhidmat sekurang-kurangnya 3 tahun – Diri sendiri – buku perkhidmatan atau surat dari JHEV, Suami / isteri, Anak di bawah usia 21 tahun, masih belajar dan bujang, Anak daif/ cacat
Kategori 2 – FORCE 136 – Diri sendiri, suami/ isteri, anak cacat/ daif. Sila bawa buku perkhidmatan atau surat dari JHEV
Kategori 3 – British Army – Diri sendiri, suami / isteri, anak cacat/ daif
Kategori 4 – Sarawak Ranjers – Diri sendiri, suami / isteri, anak cacat / daif
Kategori 5 – Wataniah (kerahan sepenuh masa) – Diri sendiri, suami / isteri, anak daif / cacat
PELATIH ANGKATAN TENTERA (ATM, LAUT DAN UDARA) – Siapa yang layak? Diri sendiri sahaja. Bawa surat jaminan majikan
PENDERMA ORGAN – Siapa yang layak? – Diri sendiri, bawa surat pengesahan pegawai perubatan
PENDERMA DARAH – Siapa yang layak? Diri sendiri, kos rawatan percuma ini akan mengikut kepada berapa kali pendermaan dilakukan. Biasanya bagi yang pertama kali, kos rawatan ini akan tamat tempoh 4 bulan dari kali terakhir menderma. Tapi kalau sudah menderma 50 kali ke atas, percuma bagi tempoh 10 tahun di kelas pertama dan percuma seumur hidup di kelas dua dari tarikh akhir menderma.
PEPERIKSAAN – Siapa yang layak? Pesakit yang terlibat dengan peperiksaan sepanjang menjalani hari rawatan peperiksaan sahaja.
Jadi kalau korang atau saudara mara yang layak dapat perubatan percuma ini, gunakanlah dengan sebaiknya ya kerana ia satu kemudahan yang disediakan. Jadi tak adalah pening-pening nak bayar bil hospitalkan.