Bukan Malaysialah namanya jika jalan raya kita tidak berlubang..
Insiden terlanggar lubang pada jalanraya ketika berbasikal yang menimpa Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) iaitu Yang Berbahagia Khairy Jamaluddin Abu Bakar hangat diperkatakan sejak semalam.
Menteri yang aktif beriadah itu telah memuat naik beberapa keping foto ke akaun Twitter miliknya semalam dengan menunjukkan wajahnya yang cedera setelah terjatuh basikal disebabkan oleh keadaan jalanraya yang kurang memuaskan itu.
Setiausaha kepada KJ, R.Shahrir Bakar memaklumkan bahawa keadaan bosnya itu stabil dan beliau hanya mengalami kecederaan ringan.
Muat naik tersebut pada mulanya dihimpuni oleh warganet yang mengucapkan agar beliau segera sembuh dan berkongsi cerita bagaimana mereka juga pernah berdepan dengan insiden yang lebih kurang sama.
Cuma malangnya, setiap kali mereka melaporkan aduan kepada pihak berkuasa untuk membetulkan jalan berlubang, ada yang lambat menerima respon balas. Malah, ada juga aduan yang tidak dibalas langsung.
*
Kurang 6 jam selepas muat naik oleh KJ itu, warganet pantas menyedari tweet balas Jabatan Kerja Raya bahagian Kuala Langat yang memohon maaf ke atas kejadian yang menimpa KJ.
“JKR Kuala Langat akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan dan mendoakan YB cepat sembuh.”
Tweet balas itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang menyifatkan pihak berkuasa itu mengamalkan double standard dalam kes insiden jalan berlubang.
Kamarul Afiq As-Subanji berkata, “Banyak dah rakyat marhaen cedera sebab jalan yang macam har*m. Bila menteri yang kena baru nak menggelabah.”
Wai Hoong juga berpendapat ia tidak adil dan berharap agar lebih ramai menteri menunggang basikal dan melihat sendiri kondisi jalanraya. “Bila kami mengadu, mereka akan ‘tai chi’ itu ini, bukan masalah mereka. Semak dengan TNB, Syabar etc.. Hello steady sikit, don’t double standard.”
Nur Aien Nur juga tidak berpuas hati dengan sikap pilih kasih ini. “Kalau menteri atau VIP, memang terus minta maaf. Yang rakyat biasa kadang-kadang berbuih mulut minta pihak berkenaan baiki mutu jalan. Sampai yang hilang nyawa pun ramai. 10 aduan dibuat, macam-macam alasan bagi.”
*Err.. burn*
Malah, akaun Facebook popular yang selalu mengemukan info semasa di jalan raya, @inforoadblockjpjpolis juga tidak ketinggalan untuk memberikan komen sinis ke arah pihak berkuasa mengenai kes-kes melibatkan penunggan motosikal yang maut serta cedera sebelum ini akibat jalan berlubang.
Diharap pihak berkuasa lebih cakna dengan keadaan jalan raya di kawasan bawah cawangan masing-masing dan memperbaiki jalan raya yang semakin hari, semakin sukar untuk digambarkan – jalan ke apa ini?