“Bila Sembang Dengan Hero Lain Saya Rasa Banyak Kekurangan”, Hero Inspirasi, Imran Aqil Bocor Rahsia

Share

Sejak berdekad, pertandingan Hero Remaja menyaksikan ribuan anak muda berusia di bawah 24 tahun mencuba nasib dalam pertandingan berprestij ini. Setiap dua tahun sekali, sesi ujibakat diadakan bagi mencari pelapis terkini. Malah banyak nama-nama besar dalam industri seni lahir dari program ini seperti Fattah Amin, Syafik Kyle dan ramai lagi.

Tahun ini juga menyaksikan ribuan anak muda hadir di sesi ujibakat sebelum 12 orang calon terbaik terpilih untuk mengharungi kesemua cabaran. Tidak hanya bersandarkan paras rupa namun pertandingan berprestij ini turut mencari anak muda yang mampu menjadi inspirasi kepada rakan sebaya.

Semalam menyaksikan Nadhir Nasar, 23 dinobatkan sebagai juara Hero Remaja 2020 menggantikan Aliff Muhaimin yang memenanginya dalam pertandingan sebelum ini. Di pertandingan berprestij ini juga menyaksikan Imran Aqil, 21 tahun terpilih sebagai Hero Inspirasi dalam pertandingan berakhir semalam.

Berkongsi perasaanya, jelas Imran dia benar-benar terkejut sebaik namanya diumumkan oleh pihak penganjur.

Menyifatkan dirinya “serba kekurangan” berbanding hero lain, jelas Imran dia banyak belajar dalam pertandingan ini.

“Bila saya sembang dengan mereka, saya tahu saya serba kekurangan. Saya jenis tak suka membaca, menyanyi pun tak boleh, menari sikit-sikit. Pendek kata tiada apa kelebihan saya. Tapi bila sembang masa senggang ia jadi pemangkin untuk saya jadi sesuatu. Masuk dalam pertandingan ini, saya banyak beli buku untuk memperbaiki ilmu pengetahuan saya agar saya tidak tertinggal.

“Ia juga memupuk sikap ingin bersaing secara sihat. Mahu jadi yang terbaik. Pendek kata, saya perbaiki diri saya untuk nampak sehebat finalis lain. Alhamdulillah, saya merasakan diri saya lebih baik semasa dan selepas dari pertandingan ini,” katanya ketika ditemui.



Dalam pada itu, Imran berkata dia berpegang pada satu prinsip berbuat baiklah kerana Allah, bukan untuk menunjuk kepada sesiapa.

“Mungkin ada sikap-sikap saya yang pihak penganjur nampak tapi saya tak sedar dan alhamdulillah saya terpilih sebagai Hero Inspirasi. Saya percaya, ia terilham dari rasa percaya peminat pada saya hingga saya meraih gelaran ini,” katanya yang gemar melakukan kerja-kerja sukarelawan malah merupakan alumni kepada Yayasan Sukarelawan Siswa.

“Saya banyak ikut projek dalam Yayasan Sukerelawan Siswa ini. Sebelum ini sebulan kami ke Vietnam dan pernah dua minggu ke Sabah. Insya Allah lepas habis PKP ini projek di Sabah akan dimulakan dahulu,” katanya mengakui bangga dengan gelaran Hero Inspirasi diperolehnya.

Ditanya projek selepas pertandingan Hero Remaja 2020 berakhir, Imran Akui 20 hb ini dia antara talent yang terpilih dalam projek video musoc terbitan Kru Music.

“Ia first projek saya. Ada juga saya hantar casting, ada terpilih dan tidak. Insya Allah saya akan cuba lagi meluaskan bakat seni saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Imran sekali lagi mengajak remaja untuk menonjolkan sikap baik dan berbuat kebaikan itu kerana Allah taala.

“Jangan buat baik kerana mahukan reward dari manusia. Tapi buatlah kerana Allah. In return, Allah akan atur hidup kita dengan sebaik-baiknya,” katanya mengakhiri perbualan.

Published by
Almaswa Haji Che Ros