Seorang warga emas, Ab Mutallib Din, 70, sempat menunaikan permintaan cucunya yang mahu ke Bazar Ramadan Bandar Tun Abdul Razak. Bagaimana pun bagai sudah tersurat, dia akhirnya rebah di tapak pasar malam sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, Ab Mutallib dikatakan meninggal dunia setelah rebah di hadapan deretan gerai jualan di bazar itu selepas membeli beberapa juadah berbuka bersama Mohamad Aqil Amzar, 13.
Anak tiri Allahyarham, Nazri Ahmad, 48, berkata, sejak dua hari lepas bapanya tidak sihat dan ada mendapatkan rawatan di sebuah klinik akibat gastrik.
“Dia tak ada selera makan walaupun doktor nasihat berbuka puasa dan makan ubat. Kelmarin, dia berehat di rumah saja tapi petang semalam, dia bersiap pakai baju. Saya tanya nak ke mana, dia cakap nak bawa Aqil pergi bazar. Tak lama lepas tu lebih kurang jam 6.15 petang Aqil telefon saya bagi tahu atuk rebah. Ada orang sambut masa rebah tu. Aqil bagi saya bercakap dengan orang yang ada di situ. Dia cakap bapa saya dah tak ada,” katanya.
Nazri berkata, doktor mengesahkan kematian bapanya adalah akibat serangan jantung.
Ads
Sementara itu, mengimbas detik kejadian, Mohamad Aqil berkata, datuknya ‘pergi’ selepas dia meminta izin untuk membeli ayam percik.
“Masa tu saya nak beli ayam percik. Atuk kata pergi beli dulu. Kami berpisah tapi tak jauh melangkah, saya dengar atuk panggil nama saya. Bila saya toleh, nampak atuk dah rebah tapi ada orang sambut. Saya kembali semula tapi dia dah tak sedar,” katanya yang kemudian menghubungi bapanya.
Mohamad Aqil berkata, pesanan terakhir datuknya ketika mereka berbual di hari kejadian akan sentiasa tersemat dalam fikiran.
Ads
“Atuk pesan belajar pandai-pandai. Utamakan pelajaran dan jangan asyik main game,” katanya.
Sementara itu, adik ipar Allahyarham, Zainab Sabdin, 62, berkata, kali terakhir beliau berhubung dan bertanya khabar dengan kakaknya, Normah (isteri Allahyarham) kira-kira dua minggu lalu dan ketika itu keadaan Allahyarham sihat seperti biasa.
“Setiap tahun bulan puasa kami selalu berhubung rancang nak balik beraya di mana. Sama macam tahun ni. Saya telefon kakak, tanya khabar. Arwah baik-baik sahaja masa tu. Memang terkejutlah dia pergi tiba-tiba. Biasanya kami semua berkumpul pada hari raya di Penang,” katanya.
Ads
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
“Mangsa sudah disahkan meninggal dunia akibat serangan sakit jantung dan tiada unsur jenayah dalam kes ini,” katanya.
Kekayaan budaya yang ada di Pulau Mutiara, Pulau Pinang merupakan salah satu sebab mengapa ia sering menjadi pilihan para pelancong dari dalam dan luar negara. Biarpun keluasan Pulau Pinang tidaklah seluas negeri lain, masyarakat di sana cukup majmuk dan harmoni hidup bersama satu sama lain.
Sebut saja Pulau Pinang, pasti ramai mudah cam Kuil Kek Lok Si yang terletak di bandar Georgetown ini. Manakan tidak, ia merupakan salah satu destinasi pilihan pelancong dek kerana statusnya sebagai antara kuil paling lama bertahan di Malaysia. 130 years, to be exact!
Juga merupakan salah sebuah kuil Buddha terbesar di Malaysia, Kuil Kek Lok Si kerap dikunjungi para pelancong yang selalu berada di pekarangan kompleks kuil dan mengambil foto dari pelbagai sudut.
Sejak dibina pada tahun 1890, ia menjadi simbol kepada kemakmuran masyarakat Cina di Malaysia. Setiap kali tiba perayaan Tahun Baru Cina, Kuil Kek Lok Si akan bersinar terang dengan 100,000 lampu serta tanglung dinyalakan sepanjang tujuh tingkat kompleks pagodanya yang diberi nama Ban Po Thar.
Justeru, apabila ia dilaporkan telah ‘dijilat api’ dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi, ramai pihak terkejut dan menganggap insiden ini sebagai satu kehilangan kepada sektor pelancongan serta sejarah negara.
Menurut Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong sewaktu dihubungi pihak media, mereka menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 2.56 pagi. Sebaik tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati salah sebuah kuil di puncak bukit Jalan Balik Pulau – Kampung Pisang, Air Hitam telahpun terbakar.
Kata pegawai operasi Muhammad Norhisyam Ibrahim, dianggarkan 70 peratus daripada keseluruhan bangunan kuil itu musnah. Sehingga kini, kerja pengawalan api masih dilakukan. Nasib baik, tiada kehilangan nyawa yang dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi disiasat.
Apapun, tahniah kepada pihak Bomba atas tindakan pantas memadamkan kebakaran dan mengelakkannya daripada merebak ke kawasan lain.
Kalau korang masih ingat pada tahun lalu, satu lagi kejadian kebakaran yang melanda sebuah hotel terkemuka di Pulau Langkawi pernah mengejutkan seluruh negara.
Sejak kebelakangan ini, pastinya korang perasan cuaca di negara kita terasa sangat panas dan bahang. Ya kebiasaannya bulan Ramadan dan puasa, Malaysia berada dalam ‘musim panas’ sehinggakan pada waktu malam ketika tidur pun kita berasa tidak selesa dengan cuaca yang agak bahang.
Terbaru, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan kenyataan mengenai enam kawasan di semenanjung Malaysia yang mencapai suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celcius.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam, enam kawasan yang terlibat termasuklah Kubang Pasu, Sik, Lipis, Jerantut, Bentong dan Jempol.
Kesemua daerah ini berada pada Tahap 1 (Berjaga-jaga) dan fenomena ini dijangka berterusan berlaku selama tiga hari berturut-turut.
“Tahap Berjaga-Jaga: Suhu maksimum harian 35-37 darjah Celcius sekurang-kurangnya selama 3 hari berturut-turut,” maklum MET Malaysia.
Sementara itu, seluruh kawasan di Sabah dan Sarawak pula berada dalam pemantauan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihat untuk tidak berada di kawasan terdedah bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini seperti strok haba.
Sebelum ini, MET Malaysia semalam melaporkan terdapat tiga kawasan di Semenanjung mengalami fenomena cuaca panas itu. Ia melibatkan kawasan Kubang Pasu, Sik dan Kuala Muda.
Waktu-waktu seperti ini, memang sebaiknya korang duduk sahaja di rumah jika tidak ada urusan penting di luar sana. Dalam keadaan cuaca panas sekarang ini, risau pula jika ada yang jatuh sakit raya. Jangan lupa banyakkan minum air kosong ya?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ryan Bakery bukan nama asing dalam kancah media sosial. Walaupun kehidupan sebagai influencer nampak cun dan glamor, Ryan baru-baru ini buka mulut tentang realiti sebenar—yang ada pahit manisnya.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu.
Hikmah di sebalik diberhentikan kerja dalam industri penerbangan akibat Covid-19 kira-kira dua tahun lalu membuka lembaran hidup baharu buat pemilik nama Muhammad Ryan Fahmi Bakery atau lebih dikenali sebagai Ryan Bakery.
Siapa sangka dari seorang pemuda biasa kini dia merupakan salah seorang personaliti media sosial berjaya dan sebaris selebriti popular tanah air. Percaturan Ryan mengetengahkan video nostalgia santai dan menghiburkan sebagai kandungan di platform media sosial miliknya meraih perhatian meluas.
Populariti anak jati kelahiran Perak ini naik mendadak sekaligus menambat hati sebilangan besar warga maya tidak kira dalam kalangan dewasa mahupun remaja. Sehingga kini pengikut Ryan di Instagram dan TikTok mencecah jutaan orang!
Enggan mendabik diri dengan kesenangan tersebut, anak sulung daripada empat beradik ini bagaimana pun sentiasa berpijak di bumi nyata.
Mengimbas kembali perjalanannya bergelar pempengaruh media sosial, dalam nada syukur Ryan yang sinonim dengan panggilan ‘Budak Bedak’ membuka bicara.
“Saya berasal dari keluarga yang bukan senang. Ayah saya bekas Tentera Laut dan mak pula suri rumah. Mak saya berniaga makanan seperti kuih, laksa dan nasi ayam. Saya dulu banyak main, kerja pun lompat sana-sini.
Satu hari ayah tanya sampai bila nak kerja macam tu dan bila nak ada kerja tetap. Memang kata-kata ayah tu menusuk dalam hati. Terus saya pergi sambung belajar dan rezeki dapat kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Seronok mak ayah bila saya kerja di airport. Tapi bila diberhentikan kerja sebab pandemik Covid-19, hati siapa tak hancur. Saya kemudian balik ke kampung di Perak. Dalam hati menangis, rasa macam seorang anak yang gagal.
Di kampung, saya berniaga seorang diri. Waktu tu tengah trend ikan laga, jadi saya cuba biak dan bisnes tu menjadi. Dalam masa sama, saya juga jual kuih.
Memandangkan banyak masa terluang saya fikir macam mana lagi nak jana income. Kalau dapat buat video, boleh buat paid review dan tambah duit. Zaman video pendek di laman sosial Vine dulu saya minat Luqman Podolski dan Adib Alex. Jadi di situlah saya mula buat content,” ujar bekas penuntut International College of Yayasan Melaka (ICYM) ini.
Dedah Ryan, kekuatan kandungan video yang dipaparkan menjurus kepada elemen nostalgia.
“Saya dah buat banyak content sebenarnya. Tapi content nostalgia lebih dapat sambutan tinggi. Kadang-kadang tengah borak dengan mak pun boleh jadi sebab berkait rapat dengan kisah masyarakat. Walau nampak simple dan ada yang kata ‘lame joke’, saya ambil tugas content creator ini secara serius.
Seronok bila baca komen positif dari mereka yang tersentuh hati lepas tengok content yang saya hasilkan. Benda itu ‘mahal’. Saya cuba paparkan momen di samping orang-orang tersayang, keluarga, pengalaman hidup dan ragam masyarakat,” luahnya sambil meluahkan rasa syukur menerima banyak tawaran lakonan, jurucakap produk dan jadi peserta program realiti TV sejak namanya terkenal.
Berbekalkan restu dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa, keluarga dan isteri tersayang, Ryan melangkah laju mengharungi cabaran bergelar public figure.
Malah dia enggan menjadikan kecaman dan kritikan segelintir pihak yang tidak sehaluan dengan karya kreatifnya sebagai halangan untuk terus memajukan diri.
Akui Ryan, dia pernah terlintas mahu undur diri daripada industri dek kerana tohmahan yang dilemparkan khalayak namun figura berusia 28 tahun ini kental menempuh dugaan.
“Kita ada keluarga nak beri makan, ada isteri nak dijaga. Itu yang menguatkan semangat saya. Bukan semua orang suka kita tapi kalau kita tak dapat nak hadap benda tu bermakna kita tak cukup kuat. Alhamdulillah setakat ini segala kecaman saya masih boleh tepis lagi. Tapi kadang-kadang sedih juga.”
Tidak pernah mendedahkan realiti kesukaran yang dialami sepanjang bergelar pempengaruh media sosial sebelum ini, Ryan berkata jiwanya rapuh saat pertama kali berdepan kata-kata negatif netizen.
“Nak dapat jiwa kental tu, saya pernah patah hidung, pengsan, stres, diserang anxiety dan selalu bersendiri. Jadi content creator di media sosial ni bukan mudah sebab kita akan hadap banyak benda. Paling utama sekali, persekitaran yang ‘toksik’.
Kita kena bijak singkirkan komen yang negatif daripada mempengaruhi diri dan kehidupan seharian supaya tak terus hanyut dan jatuh.
Saya juga pernah keluar masuk hospital. Waktu tu belum kahwin lagi dan isteri tahu betapa saya struggle lalui semua ini. Bila masuk hospital, isteri saya sanggup turun dari Sepang ke Temerloh, Pahang untuk pastikan saya sihat. Orang tak tahu macam mana kita berusaha cari rezeki untuk keluarga.
Selagi kita boleh buat, kita sajikan content yang positif dan elak daripada sentuh sensitiviti masyarakat,” telus Ryan yang merancang menceburi bidang perniagaan pakaian andai satu hari nanti tidak lagi berkecimpung dalam industri ini.
Mengulas pencapaian terbesar yang diraih sejak menjadi individu berpengaruh di alam maya, Ryan bersyukur dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya yang tidak pernah terlintas pun di fikiran selama ini.
Selain berpeluang membintangi filem Zim Zim Ala Kazim, Ryan juga berjaya merangkul pengiktirafan TikTok Awards Malaysia 2023 bagi kategori Popular Creator of The Year pada Ogos lalu.
Lebih manis, impian Ryan untuk mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihan turut dimakbulkan Allah SWT. Tanggal 1 Oktober 2022 dia sah menjadi suami kepada Elyia Ibrahim selepas lima tahun mengenali hati budi.
Kisah Ryan bagi kita semua pengajaran—di sebalik glamor influencer, ada realiti yang lebih dalam yang memerlukan kita untuk jadi kuat dan matang.Kisah Ryan ni juga buka mata kita tentang betapa pentingnya jaga kesihatan mental dan cara untuk berani hadapi cabaran.Artikel ini diambil dan diolah dari Nona.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Hanya sehari sebelum dilangsungkan, acara One Love Music Festival yang dijadualkan menghiburkan pengunjung selama 12 jam berturut-turut di MAEPS, Serdang esok terpaksa dibatalkan.
Penganjurnya, Tuff...