“Bila Toleh Nampak Atuk Rebah”, Cucu Kongsi Kisah Sedih Datuk Meninggal Di Pasar Malam

Share

Seorang warga emas, Ab Mutallib Din, 70, sempat menunaikan permintaan cucunya yang mahu ke Bazar Ramadan Bandar Tun Abdul Razak. Bagaimana pun bagai sudah tersurat, dia akhirnya rebah di tapak pasar malam sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, Ab Mutallib dikatakan meninggal dunia setelah rebah di hadapan deretan gerai jualan di bazar itu selepas membeli beberapa juadah berbuka bersama Mohamad Aqil Amzar, 13.

Anak tiri Allahyarham, Nazri Ahmad, 48, berkata, sejak dua hari lepas bapanya tidak sihat dan ada mendapatkan rawatan di sebuah klinik akibat gastrik.

“Dia tak ada selera makan walaupun doktor nasihat berbuka puasa dan makan ubat. Kelmarin, dia berehat di rumah saja tapi petang semalam, dia bersiap pakai baju. Saya tanya nak ke mana, dia cakap nak bawa Aqil pergi bazar. Tak lama lepas tu lebih kurang jam 6.15 petang Aqil telefon saya bagi tahu atuk rebah. Ada orang sambut masa rebah tu. Aqil bagi saya bercakap dengan orang yang ada di situ. Dia cakap bapa saya dah tak ada,” katanya.

Ab Mutalib rebah di pasar malam sebelum meninggal duni di lokasi kejadian

Nazri berkata, doktor mengesahkan kematian bapanya adalah akibat serangan jantung.

Sementara itu, mengimbas detik kejadian, Mohamad Aqil berkata, datuknya ‘pergi’ selepas dia meminta izin untuk membeli ayam percik.

“Masa tu saya nak beli ayam percik. Atuk kata pergi beli dulu. Kami berpisah tapi tak jauh melangkah, saya dengar atuk panggil nama saya. Bila saya toleh, nampak atuk dah rebah tapi ada orang sambut. Saya kembali semula tapi dia dah tak sedar,” katanya yang kemudian menghubungi bapanya.

Mohamad Aqil berkata, pesanan terakhir datuknya ketika mereka berbual di hari kejadian akan sentiasa tersemat dalam fikiran.

“Atuk pesan belajar pandai-pandai. Utamakan pelajaran dan jangan asyik main game,” katanya.

Zainab akui kali terakhir mereka berhubung kira-kira dua minggu lalu

Sementara itu, adik ipar Allahyarham, Zainab Sabdin, 62, berkata, kali terakhir beliau berhubung dan bertanya khabar dengan kakaknya, Normah (isteri Allahyarham) kira-kira dua minggu lalu dan ketika itu keadaan Allahyarham sihat seperti biasa.

“Setiap tahun bulan puasa kami selalu berhubung rancang nak balik beraya di mana. Sama macam tahun ni. Saya telefon kakak, tanya khabar. Arwah baik-baik sahaja masa tu. Memang terkejutlah dia pergi tiba-tiba. Biasanya kami semua berkumpul pada hari raya di Penang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“Mangsa sudah disahkan meninggal dunia akibat serangan sakit jantung dan tiada unsur jenayah dalam kes ini,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros