Bila Wanita Kena “Sekolah” Tentang Istilah Cantik, Kecantikan Bukan Pada Paras Rupa Tapi KETAATAN

Share

Isu lelaki jadian menghabiskan juta ringgit untuk dilihat cantik menjadi viral baru ini. Bukan sedikit komen didapati, terlalu ramai yang melontarkan “peluru penabur” membasuh dan menyuruh kembali ke jalan Allah.

Bila menyebut ayat cantik, ramai melihat rupa paras jelita adalah ukuran bahawa polan binti si polan cantik. Ditambah solekan tebal, ramai yang kemudian memuji-muji mereka kelihatan cantik hingga timbul di dalam hati “ya, aku memang cantik”.

Pensyarah kanan USIM, Dr Ahmad Sanusi Azmi yang juga penulis buku memaklumkan apa cantik yang sebenarnya wanita kena tahu. Ia bukan terletak pada paras rupa tapi cantik yang sebenar adalah terletak pada ketaatan.

Baca perkongsian di fbnya.

1. Manusia tidak seharusnya mengikat nilai kecantikan hanya pada fizikal semata. Kecantikan fizikal akan pudar, kendur dan kedut. Ia akan berlalu pergi. Bahkan ia bersifat subjektif yang dipandang dengan nilai yang berbeza oleh setiap orang.

2. Rasulullah menyifatkan nilai kecantikan seorang wanita adalah pada ketaatannya. Seorang lelaki yang memiliki isteri solehah seumpama lelaki yang mempunyai kekayaan yang tidak ternilai. Sabda Rasulullah:

ألا أخبرك بخير ما يكنز المرء؟ المرأة الصالحة: إذا نظر إليها سرته، وإذا أمرها أطاعته وإذا غاب عنها حفظته

“Mahukah kamu aku beritahu nilai yang terbaik yang perlu dijaga (dipelihara) oleh seorang lelaki? Ianya adalah isteri yang solehah. Isteri solehah itu adalah seorang yang tenang bila kamu melihatnya, apabila disuruh, dia mentaati suaminya dan apabila suami tiada dia menjaga hak-hak suaminya.”

3. Perhatikan bagaimana Rasulullah mengangkat nilai keindahan (kecantikan) seorang wanita. Ia bukanlah penilaian fizikal tetapi ketinggian nilainya dilihat dari aspek ketaatan kepada Allah dan kepatuhan dalam menjaga hak-hak suaminya.

4. Begitu juga bagi seorang lelaki, nilai kecantikannya terletak pada ketaatannya kepada Allah, serta budi pekertinya yang mulia.

5. Lelaki yang menghabiskan simpanan wang jutaan ringgit hanya untuk memenuhi kehendak nafsunya yang bercanggah dengan perintah Allah tidak memiliki keindahan seperti yang digariskan oleh Rasulullah.


Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

Published by
Almaswa Haji Che Ros