Baru ini perkongsian dari seorang lelaki bujang, Mohammad Syaiful Nazreen bin Musa di twitternya menarik minat orang ramai apabila dia berkongsi suasana di dalam bilik tidurnya. Memang cantik kemas tersusun semuany termasuk lipatan baju-baju yang tampak kemas. Ditambah deko yang tidak terlalu sarat, sesuai dengan orang bujang, perkongsiannnya menarik minat untuk orang mengenalinya lebih lanjut kerana mahu mahu tahu tips bagaimana biliknya nampak kemas dan teratur. Dari susunan biliknya kalah bilik anak dara yang hanya tampak cantik berpakaian di luar.
REMAJA menghubungi Syaiful Nazreen untuk berkongsi tips bagaimana pakaiannya elok terlipat dan tersusun kemas di almari. Lebih mesra disapa Syaiful, pemuda bujang yang bekerja sebagai Supervisor di pusat membeli belah Pavilion Bukit Bintang Kuala Lumpur ini mengakui suasana bilik yang dipaparkan di twitternya itu adalah bilik sewa di sebuah kondo di ibu kota.
“Kami menyewa bilik. Kondo ini pun ada tiga bilik saja. Masa mula duduk dulu, tuan rumah hanya sediakan basic iaitu katil. Saya beli sikit-sikit termasuk mengecatnya sendiri dan menghias mengikut daya kreativiti saya. Habislah dalam RM5000 termasuk membeli almari dan lain-lain dekorasi yang saya beli di Ikea Sportlight, SSF, H&M Home, Kaison dan lain lagi,” katanya memulakan perbualan.
Bilik kemas dan tersusun, apa rahsianya?
Kata Syaiful, sejak kecil suasana dalam rumah di kampung ibu bapanya amat menitik beratkan soal kebersihan.
“Kami dah diajar untuk mengemas rumah. Mak pula sentiasa pastikan rumah nampak bersih. Saya anak bongsu dari enam beradik. Empat lelaki dan dua perempuan. Tapi emak dan ayah sentiasa didik kami part kebersihan. Kebetulan bidang kerja saya di bahagian peruncitan. Sentiasa kena lipat baju dan sebagainya. Jadi tata kerja itu saya praktikan di rumah sewaan ini pula,” katanya sambil ketawa.
Tambahnya lagi untuk dapatkan suasana bilik begini, Cuma kena rajin sedikit. “Saya buat pemilihan warna tanah yang tidak terlalu menonjol suasananya. Kemudian saya tambah hiasan pokok untuk elemen kehijauan. Ditambah perabot yang ada dalam bilik ini (ukurannya beliau tidak pasti tapi memanjang dan ada tingkap membuatkan suasana biliknya nampak kemas dan teratur).
“Lagi satu selang dua atau tiga hari sekali, saya akan vakum bilik untuk pastikan bilik nampak kemas dan elok,” katanya lagi. Jelasnya lagi, pastikan pakaian yang dibasuh dan sudah dijemur, segeralah lipat atau gantung dan jangan bertangguh atau dilonggokkan di atas katil kerana kalau pakaian dilipat dengan cepat, ia lebih mudah berbanding membiarkannya selonggok,” katanya mengakui tidak pernah menyepahkan pakaian di lantai biliknya sebaliknya semua pakaian kotor akan dimasukkan terus ke dalam bakul tersedia sebaik pulang dari kerja atau bersiar-siar.
Nah, Syaiful bagi tips untuk bilik korang nampak kemas
- Kena rajin (part nie kena ubah diri sendiri)
- Spend time untuk bersihkan bilik at least sejam dua, sapu, mop atau vakum
- Disipin diri (jadikan rutin)
- Jangan suka bertangguh untuk buat. Lagi pun bilik tak besar mana pun. Buang sikap malas.
Lagi satu cara lipatan baju juga penting. Syaiful akui dia membahagikan jenis-jenis baju mengikut almari.
“Biasanya kalau t-shirt lengan pendek, saya akan pastikan cara lipatan ialah lambang di depan. Ini kerana bila kita nak tarik baju, kita dah tahu ia baju apa. Tak perlu punggah semula, tengok satu-satu. Tarik pun hati-hati, kalau tak terabur.
“Kalau tshirt lengan panjang pula, sama juga. Begitu juga seluar pendek atau boxer, semua saya susun satu tempat yang sama. Maksudnya pakaian tak akan bersepah-sepah sebab kita dah letak setempat.
“Paling akhir sekali, biasanya part kemeja. Saya akan butangkan dari atas sampai bawah termasuk butang lengan bila hanging kemeja tu. Time nak lipat baru buka balik. Memang nampak susah cara begini tapi sebenarnya ia lebih tersusun kemas tergantung. Seluar juga sama, lipat elok-elok barulah bilik akan nampak kemas dan semua pakaian tersusun rapi,”katanya berkongsi tips.
So korang, kalau nak bilik tampak kemas dan wow macam biliknya, apa paling penting ialah rajin dan kena ada kesungguhan. Bila kita ubah sikap, maka semuanya akan jadi.