Ruangan sauna & spa yang terletak di cawangan Babel, Suria KLCC telahpun hangus terbakar dalam satu insiden kebakaran tengah malam Rabu.
Kebakaran berlaku di tingkat satu Babel pada jam 11.31 malam itu bagaimanapun berjaya dikawal dan dipadamkan oleh 39 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak, BBP Pudu, BBP Keramat dan BBP Jalan Hang Tuah yang dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.34 malam.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Kuala Lumpur, Fatta M Amin berkata, anggaran keluaran kebakaran ialah 3×3 meter persegi dengan kemusnahan 100 peratus.
Tindakan tangkas oleh empat buat BBP itu sekaligus berjaya mengelakkan kebakaran daripada merebak ke unit lain dalam cawangan tersebut.
Punca kebakaran pula masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM Kuala Lumpur.
Sementara itu, Suria KLCC dalam kenyataan pagi ini berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.
Pihak pengurusannya juga sedang berusaha menangani sebarang kebimbangan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteaan pelanggan, premis serta kakitangannya terjaga.
Buat masa ini, Babel KLCC akan ditutup buat sementara waktu sehingga satu pemberitahuan kelak. Namun, pusat membeli-belah itu masih beroperasi seperti biasa.
Sebagai info, ini merupakan insiden kebakaran kedua yang berlaku di Babel KLCC, sebuah kelab kesihatan dan kesejahteraan ikonik dan inovatif di Malaysia dalam tempoh 20 bulan.
Kali terakhir kejadian seperti ini berlaku adalah pada 21 Ogos 2022 pada bahagian gimnasium dan orang ramai terpaksa mengosongkan Suria KLCC dan bangunan Menara Petronas 3.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
‘