Baru-baru ini, pemenang pingat perak Olimpik Paris 2024 bagi acara menembak, Kim Ye Ji mendedahkan bahawa antara cara beliau menguatkan daya ketahanan fizikal dengan menunggang basikal sejauh 90 kilometer sebagai latihannya setiap hari.
Menerusi episod terbaru dalam rancangan ‘You Quiz On The Block’ yang disiarkan pada 4 September, Yeji berkongsi mengenai fakta mengejutkan tersebut semasa ditemubual pengacara Yoo Jae Suk dan Jo Se Ho.
Menurut atlet yang tular di media sosial itu, dia memilih berbasikal kerana ia meupakan latihan fizikal yang berkesan buat dirinya dan Yeji memberitahu dia mengayuh sejauh kira-kira 56 batu di antara Jeonju dan Imsil.
“Saya terfikir sendiri ‘cara apa yang paling berkesan untuk berlatih sambil menjimatkan masa’. Jadi saya memutuskan untuk bertolak pada pukul 5 pagi dan mengayuh selama dua jam setengah ke tempat latihan menembak”
Latihan intensif ini merupakan hasil dari pilihan atlet yang berusia 32 tahun itu untuk mengoptimumkan masa sambil mengekalkan kecergasan. Jadi, secara keseluruhan, beliau akan menghabiskan lebih daripada lima jam menunggang basikal setiap hari.
Dalam pada itu, Yeji yang kerap menjalani rutin yang ketat juga berkongsi kisah ketika dia mengalami kemalangan jatuh dari basikal sehingga menyebabkan luka di bahagian dagu.
“Kulit dagu saya tercalar dan waktu itu sangat sakit sampai saya ingatkan rahang saya dah patah. Saya mengerang kesakitan sambil pegang dagu untuk seketika,” tambahnya.
Meskipun mengalami kesakitan pada waktu itu, Yeji memilih untuk terus menunggang basikal ke tempat latihan menembak daripada mendapatkan rawatan perubatan, menunjukkan dedikasi dan tekadnya yang luar biasa sebagai atlet negara Korea Selatan.
“Waktu itu saya cuma fikir saya perlu pergi kerja, jadi saya terus pakai helmet dan terus kayuh ke tempat kerja sambil berdarah,” katanya.
Sekadar info, Kim Ye Ji baru-baru ini memenangi pingat perak dalam acara pistol udara 10m di Olimpik Paris 2024. Dia juga memenangi emas dalam acara pistol udara 25m dan perak dalam acara pistol udara 10m di Piala Dunia ISSF pada Julai 2024.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
[Gambar]: Taufan Terkuat Tahun 2020, ‘Super Typhoon’ Membadai Filipina
Satu lagi bencana alam telah melanda negara jiran kita, Filipina apabila ‘Super Typhoon Rolly’ atau lebih dikenali sebagai Taufan Goni mula membadai negara tersebut pada Sabtu lalu.
Ribuan penduduk terpaksa dipindahkan kerana taufan itu juga turut diramal akan menyebabkan kejadian tanah runtuh. Pusat Pengurusan Atmosfera, Geofizik, dan Astronomi Filipina (PAGASA) menyifatkan bahawa bencana itu sebagai taufan yang terkuat tahun ini. Ia dilaporkan membawa angin kuat berkelajuan 217 kilometer sejam.
Menurut Manila Times, taufan yang melanda pulau Catanduanes pada watu Subuh dengan angin kencang 225 kilometer per jam dan tiupan angin 280 kph (174mph) adalah setara dengan taufan kategori 5. Tiupan angin ke arah barat menuju daerah-daerah berpenduduk padat, termasuklah Metro Manila dan beberapa wilayah yang mengalami hujan lebat sekitar seminggu yang lalu dan mengorbankan kira-kira 22 orang mangsa dalam taufan Molave.
Khabarnya, pihak berkuasa juga sedang berhadapan dengan cabaran hebat apabila perlu menjaga pematuhan penjarakan fizikal di pusat penempatan bagi menghindarkan jangkitan COVID-19.
Besar sungguh dugaan yang dihadapi oleh negara tersebut. Gambar-gambar yang dikongsi juga cukup untuk membuatkan hati ini sayu bila melihat situasi yang melanda Filipina sekarang.
Sama-sama kita doakan agar segala urusan mereka dipermudahkan dan sabar serta kuat untuk menempuh dugaan yang diberikan ini.
Sumber: Manila Times & Astro Awani
Almari Kembali Berselerak Walau Dikemas, Atasinya Dengan 6 Tip Ini!
Isi Kandungan
ToggleAlmari pakaian adalah salah satu keperluan utama dalam sesebuah kediaman. Memilikinya mudah, tetapi untuk menjaganya amat susah terutamanya golongan bekerjaya.
Rimas juga jika setiap hari perlu melihat almari pakaian yang berselerak dan menyusahkan anda untuk memilih pakaian yang dimahukan. Atas sebab itu, anda harus ikuti cara menguruskan almari pakaian agar sentiasa kemas dan tersusun seperti berikut:
Gunakan penyangkut pakaian yang sama
Jadikan sebagai tanggungjawab anda untuk memastikan penyangkut yang digunakan adalah sama daripada segi warna, jenis, bentuk dan susunan kepalanya agar ia kelihatan seragam dan sedap mata memandang.
Pastikan semua pakaian digantung menghadap arah yang sama
Demi memastikan almari kelihatan lebih tersusun, pastikan tag, saiz, butang mahupun leher kolar pakaian anda menghadap arah yang sama. Ia juga akan memudahkan anda untuk memilih dan mencapai pakaian yang ingin dipakai setiap hari.
Asingkan pakaian mengikut kod warna
Cipta satu kaedah yang boleh memudahkan anda untuk melihat pilihan warna pakaian yang anda miliki. Cara ini juga dapat mempercepatkan proses suai dan padan dalam memilih konsep pakaian harian.
Sediakan ruang untuk aksessori
Aksessori seperti tali pinggang, tas tangan, tali leher dan sebagainya hendaklah diasingkan di satu ruang mengikut kategori dan mudah untuk dijumpai. Gantung tali pinggang pada cangkuk dan susun tas tangan pada rak asing.
Susun baju anda
Pelbagai tip melipat baju dengan kemas boleh didapati di internet. Oleh itu, lipat dan susun baju menghadap bahagian yang terlipat untuk memudahkan anda mengeluarkannya daripada laci pakaian kelak. Pastikan juga semuanya tersusun mengikut kod warna. Ini dapat menjimatkan ruang dan juga masa anda dalam proses memilih pakaian.
Cipta satu sudut untuk capai dan gerak
Sudut capai dan gerak adalah untuk barang keperluan asas yang anda akan gunakan setiap hari. Contoh termudah untuk wanita ialah peralatan solekan.
Menarik juga idea yang dikongsikan ini. Selamat mencuba!
Jangan Acah Sweet Sambut Hari Kekasih, Dr. Zulkifli Jelas ‘Hukum’ Zina Dari Perspektif Islam, Kristian & Buddha
Hari ini, 14 Februari. Valentine’s Day. Disebut sebagai hari kasih sayang, ramai pasangan kekasih teruja untuk menantikan hari ini. Makan-makan, keluar bersama, tukar-tukar hadiah konon dilihat sebagai romantik!
Pendek kata, ramai orang Islam tahu apa kisah di sebalik Valentine’s Day ini. Ini hari memperingati ajaran agama Kristian tetapi ramai mengambil pendekatan dan pemahaman sendiri, hanya mahu meraikan “kasih sayang” itu sendiri.
Oleh itu, Mufti Wilayah Persekutuan melalui laman web rasmi ada memberi keterangan lanjut mengenai permasalahan ini. Mari ikuti penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah ini. ( Nota: artikel Bayan Linnas ini ditulis pada 13 Februari 2017 dahulu semasa Dr. Zulkifli bertugas sebagai Mufti Wilayah Persekutuan ketika itu.)
Bayan Linnas Siri Ke-84: Ke Mana Arah Tuju Hari Kekasih?
- Mukadimah
Gejala sosial merupakan satu amalan tidak sihat yang sering dikaitkan dengan anak muda. Antara masalah ketara yang dapat kita lihat dalam masyarakat kita kini adalah gejala sumbang mahram yang membawa kepada kelahiran anak tidak sah taraf. Apa yang merisaukan kami adalah jumlahnya yang sangat meruncing. Statistik Kementerian Kesihatan pada tahun 2015 mendedahkan sebanyak 3,980 atau 28.8 % daripada 13,831 remaja berusia 10 hingga 19 tahun mengandung anak luar nikah.
Hubungan Luar Nikah Di Sisi Beberapa Agama-Agama Utama di Malaysia
Kami nukilkan di sini pendirian tiga agama yang mempunyai pengikut tertinggi di Malaysia berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Susunan di bawah ini tidak mengikut urutan ketinggian peratusan pengikut agama.
Kristian
Tidak ada teks dalam Bahasa Ibrani (Hebrew) mahupun Greek yang digunakan dalam Bible yang merujuk kepada hubungan luar nikah, secara khusus. Pun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa Bible mengecam tindakan zina dan pencabulan. Dalam 1 Corinthians 7:2, jelas dinyatakan:
But since sexual immorality is occurring, each man should have sexual relations with his own wife, and each woman with her own husband.
Ayat di atas menyatakan bahawa disebabkan manusia tidak dapat mengawal diri mereka dan menimbulkan banyak hubungan luar nikah, mereka sepatutnya berkahwin. Melalui perkahwinan, nafsu akan dilunaskan mengikut jalan yang bermoral. Hubungan luar nikah juga dinyatakan sebagai satu dosa seperti yang tertulis pada Acts 15:20; 1 Corinthians 5:1; 6:13, 18; 10:8; 2 Corinthians 12:21; Galatians 5:19; Ephesians 5:3; Colossians 3:5; 1 Thessalonians 4:3; Jude 7.
Buddha
Perkara ketiga daripada lima Pancasila dalam asas etika agama Buddha adalah, seseorang itu perlu mengelakkan daripada melakukan kāmesu micchācārā (hubungan seksual yang salah). Pernah ketika sedang menyampaikan syarahan kepada para Brahmin, Buddha telah menyatakan bahawa hubungan seks dengan (i) perempuan yang dibawah penjagaan ibu bapa/bawah umur (ii) wanita yang dilindungi Dhamma, biarawati atau sesiapa yang bersumpah untuk tidak berkahwin (iii) wanita yang berkahwin (iv) mereka yang sedang dihukum (v) mereka yang dihiasi dengan kalungan bunga / bertunang. Rujuk http://www.buddhisma2z.com/content.php?id=370
Islam
Zina adalah perbuatan yang keji dan buruk di dalam Islam. Ia merosakkan kehidupan, keturunan, menjatuhkan maruah seseorang dan membawa kepada pelbagai lagi gejala sosial yang buruk.
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
(Surah al-Isra’: 32)
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهًا آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَامًا (68) يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَانًا (69)
Maksudnya: “Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya; Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,”
(Surah al-Furqan: 68-69)
Rasulullah SAW pernah disoal oleh Abdullah RA:
يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَيُّ الذَّنْبِ أَعْظَمُ؟ قَالَ: «أَنْ تَجْعَلَ لِلَّهِ نِدًّا وَهُوَ خَلَقَكَ» قُلْتُ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: «أَنْ تَقْتُلَ وَلَدَكَ مِنْ أَجْلِ أَنْ يَطْعَمَ مَعَكَ» قُلْتُ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: «أَنْ تُزَانِيَ حَلِيلَةَ جَارِكَ»
Maksudnya: “Aku telah bertanya kepada Rasulullah SAW: Dosa apakah yang paling besar ? Beliau menjawab : Engkau menjadikan tandingan atau sekutu bagi Allah , padahal Dia telah menciptakanmu. Aku bertanya lagi : “Kemudian apa?” Beliau menjawab: Membunuh anakmu kerana takut dia akan makan bersamamu.” Aku bertanya lagi : Kemudian apa ? Baginda menjawab lagi: Kamu berzina dengan isteri jiranmu.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 6811)
Telah nyata di dalam Islam bahawa perbuatan zina atau sumbang mahram merupakan satu dosa yang besar. Maka, tidak hairanlah Islam begitu tegas terhadap pelaku zina kerana ia akan merosakkan nasab keturunan dan mengkucar-kacirkan masyarakat.
Hari Kekasih Dan Hubungan Luar Nikah
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa hubungan luar nikah dan Hari Kekasih seakan menjadi satu hal yang tidak dapat dipisahkan. Di luar negara, Hari Kekasih sinonim dengan hubungan luar nikah. Budaya ini seterusnya terbawa-bawa ke dalam Malaysia. Saban tahun, ada sahaja tangkapan dibuat terhadap pasangan yang tidak mempunyai hubungan perkahwinan pada malam Hari Kekasih. Lihat sahaja laporan akhbar esok atau lusa.
Apakah masih tidak cukup angka-angka yang menggusarkan yang telah kami nyatakan di awal perbincangan ini? Statistik ini akan terus meningkat sekitar hujung tahun ini jika semua pihak tidak mempunyai kesedaran yang serius. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata data Polis Diraja Malaysia pula menunjukkan bagi tempoh 2000-2015, terdapat 526 kes pembuangan bayi.
Beliau juga menambah bahawa menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan kes kehamilan remaja belum berkahwin bagi tahun 2012 hingga 2015 adalah sebanyak 16,270. Maka, secara keseluruhannya sebanyak 532,158 kelahiran anak tidak sah taraf atau anak luar nikah didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari tahun 2005 hingga 2015.
Setuju atau tidak, kita tidak dapat menolak bahawa Hari Kekasih pastinya adalah salah satu dorongan bagi anak-anak muda ini melakukan maksiat dan perzinaan.
Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan
Sambutan Hari Kekasih ini adalah budaya masyarakat bukan Islam yang buruk dan kita sama sekali dilarang untuk menyambutnya. Sabda Nabi SAW:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Barangsiapa menyerupai suatu kaum maka ia termasuk sebahagian daripada mereka.”
(Riwayat Abu Daud, no. 4031)
Dalam masa yang sama, Islam sama sekali tidak melarang untuk menzahirkan kasih sayang namun tidak ada jalan yang terbaik untuk ia dimanifestasikan kecuali melalui perkahwinan. Bagi yang sudah berjumpa pasangan yang sesuai, segeralah dalam urusan pernikahan. Sabda Nabi SAW:
لَمْ يُرَ لِلْمُتَحَابَّيْنِ مِثْلُ النِّكَاحِ
Maksudnya: “Tidak pernah dilihat solusi untuk dua orang yang saling mencintai selain berkahwin.”
(Riwayat Ibn Majah, no. 1847)
Kasih sayang dalam Islam tidak mempunyai hari-hari tertentu. Setiap hari adalah hari kasih sayang buat sesama suami isteri, anak kepada ibu bapanya, ibu bapa kepada anaknya, saudara mara, jiran tetangga dan seluruh manusia amnya. Maka, tidak perlu lagi dikhususkan hari-hari tertentu, apatah lagi yang menggalakkan pula ke arah gejala sosial dalam kalangan anak muda.
Kami cenderung untuk menyatakan bahawa sambutan ini adalah diharamkan di dalam Islam berdasarkan data-data yang jelas menunjukkan bahawa ia memang membawa kepada budaya maksiat dan perzinaan disamping menyerupai budaya yang buruk yang luar daripada ajaran Islam. Bahkan, hubungan luar nikah yang menjadi fokus utama bagi anak muda tatkala Hari Kekasih turut ditegah oleh agama-agama lain yang wujud di Malaysia. Ia juga bercanggah dengan norma dan fitrah asal manusia berdasarkan data yang ditunjukkan oleh Pew Research Center . Ia membuktikan penduduk dunia secara umum dan majoritinya masih melihat hubungan luar nikah sebagai satu perkara yang tidak dapat diterima. Klik di sini
Kami nukilkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 November 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine’s Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya. Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Semoga kita dapat menginsafi akan falsafah sebenar kasih sayang dan mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat. Malaysia memerlukan golongan anak muda yang berkualiti dan berhemah tinggi bagi meneruskan kepemimpinan pada masa akan datang. Usah bazirkan usia muda dengan 1001 gejala sosial yang bakal menggelapkan masa depan anda.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Nota: artikel Bayan Linnas ini ditulis pada 13 Februari 2017 dahulu semasa Dr. Zulkifli bertugas sebagai Mufti Wilayah Persekutuan ketika itu.
BACA LAGI : Netflix Lancar Trailer Dokumentari ‘Britney vs Spears’, Tak Sabar 28 September Ini
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan