Sebelum ini finalis Dewi Remaja 2019 Myra Natasya telah pun membuat pengakuan bahawa dia merupakan anak kepada pengacara dan bekas penyampai radio, Halim Othman. Jelas Myra, dia berasa lega kerana tidak perlu merahsiakan lagi perkara ini daripada orang ramai.
BACA: “Tak Perlu Berahsia Lagi,” – Anak Halim Othman, Myra Natasya Gembira Penantian 27 Tahun Berakhir
Kali ini, ayah kandungnya itu telah membuat kenyataan berkaitan perkahwinannya yang lampau. Menurut Halim Othman, dia tidak mendaftarkan perkahwinan itu di Malaysia kerana rumah tangga itu tidak aman dan akhirnya mereka membawa haluan hidup masing-masing. Disebabkan oleh itu, nama Myra tidak berbintikan nama Halim, sebaliknya diberi nama Myra Natasya Abdullah.
Jelas Halim, dia bersama bekas isteri tidak sampai setahun hidup bersama selepas berkahwin pada 1994 dan apabila Myra dilahirkan pada 1995, mereka sudah tidak lagi duduk sebumbung dan segala urusan anak dibuat oleh ibu Myra.
“Masa daftarkan itu memang bekas isteri letak nama bapa Myra, Abdullah sebab perkahwinan kami di Thailand berkenaan tidak didaftarkan di Malaysia dan ia dianggap tidak sah. Ketika itu, saya juga kata kepada bekas isteri tidak perlu besarkan cerita yang Myra anak saya, sebab tak mahu jadi ‘complicated’ dan dia akan terganggu,” katanya kepada Harian Metro.
Myra memang dijaga sepenuhnya oleh ibunya sejak mereka berpisah dan disebabkan sebuk dengan kerjaya pada 1996 dan 1997, maka urusan penceraian dapat diselesaikan di Thailand pada 1998 ketika Myra berusia 3 tahun.
Halim tidak menafikan berasa kesal kerana melihat anak kandungnya itu berbintikan Abdullah tetapi dia sedar dan terima hakikat serta percaya ada rahmat disebalik apa yang berlaku ini.
“Bila saya fikir-fikirkan lagi, kadang-kadang nama ini apabila kita terima dengan ikhlas binti Abdullah itu mungkin ia juga membawa banyak tuah kepada Myra sekarang. Alhamdulillah, saya reda dengan nama Myra binti Abdullah itu dan dengan penjelasan ini kisah kami boleh ditutup dan sekarang ‘move on’ untuk kehidupan seterusnya. Malah, saya juga bersyukur hubungan dengan ibu Myra juga semakin baik,” jelasnya.
Myra juga kini dilihat semakin aktif sebagai pengacara televisyen dan telah membintangi beberapa buah drama tempatan. Gadis berusia 27 tahun ini sedang sibuk menjalani penggambaran drama terbaharunya, Dilema Sebuah Anugerah.
Remaja mengucapkan selamat maju jaya buat Myra Natasya dan semoga dengan bakat yang ada dalam diri anak muda ini dapat menempatkan dirinya lebih jauh dalam industri hiburan tanah air.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber: (1)