‘Black Panther’ & 4 Selebriti Ini Sumbangkan Biasiswa Kepada Remaja Cemerlang

Share

 

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Itulah perumpaan paling tepat untuk menggambarkan mendiang Chadwick Boseman yang popular menerusi watak King T’challa a.k.a Black Panther. Biarpun telah meninggal dunia pada tahun lalu akibat kanser, nama baik Chadwick masih diangkat sebagai salah seorang selebriti berjiwa besar kepada industri seni dan kepada masyarakat secara amnya.

Terbaru, alma mater Chadwick iaitu Howard University baru saja mewujudkan program biasiswa bernilai USD5.4 juta demi memberikan penghormatan kepada jasa mendiang.

Biasiswa yang digelar sebagai The Chadwick A. Boseman Memorial Scholarship itu melibatkan bantuan kewangan bagi pelajar cemerlang yang akan mengikuti jurusan di bawah fakulti Howard’s College of Fine Arts (juga dikenali sebagai Chadwick A. Boseman College of Fine Arts) selama 4 tahun.

Ulas isteri mendiang iaitu Taylor Simone Ledward-Boseman, beliau terharu dengan kasih sayang dan usaha yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak seperti Howard University untuk memperingati jasa serta sumbangan mendiang.

Malah baru-baru ini, universiti itu juga telah berkolaborasi dengan platform penstriman popular, Netflix untuk melancarkan biasiswa baharu kepada empat pelajar yang memilih major dalam teater muzikal, lakonan, pentadbiran seni teater dan tarian.

Netflix juga adalah produksi terakhir yang sempat berkerjasama dengan Chadwick sebelum beliau meninggal dunia; iaitu menerusi filem Da 5 Bloods dan filem Ma Rainey’s Black Bottom.

ARTIKEL BERKAITAN : SEDIH Bila Mendiang Chadwick Boseman Terima Pelakon Terbaik Golden Globe – REMAJA

*

Menariknya, ramai sebenarnya selebriti Hollywood lain yang mempunyai misi sama untuk menyumbang semula kepada masyarakat setelah mereka popular dan hidup dalam kemewahan.

Contohnya seperti pelakon, Alec Baldwin yang muncul dengan Biasiswa Alec Baldwin untuk New York University (NYU) khas buat pelajar tempatan serta antarabangsa di NYU yang memerlukan bantuan kewangan dan memiliki bakat, skil, dedikasi dan mempunyai misi menjadi seorang anak seni yang lebih baik.

Pelakon Hong Kong, Bruce Lee juga tidak terlepas daripada memberikan sumbangan biarpun sudah tiada. The Bruce Lee Foundation Scholarship diberikan kepada pelajar peringkat sarjana muda untuk menjadi individu yang lebih baik. Biarpun ia hanya bernilai USD1000 saja, ramai pelajar yang memohonnya dengan menghantarkan esei kepada pihak penyelia.

Pemain terkenal bola keranjang Amerika Syarikat, Michael Jordan bergabung tenaga dengan isterinya menerusi Michael & Juanita Jordan Scholarshop. Dana sebanyak USD5000 diberikan kepada pelajar yang berasal dari Chicago yang telah mendaftarkan diri sebagai ahli United Negor College Fund. Pasangan itu juga telah memperkenalkan program biasiswa Jordan Brand Wings yang memberikan bantuan kewangan penuh.

Tidak ketinggalan ialah pengacara terkenal, Oprah Winfrey yang menghulurkan empat bentuk biasiswa di bawa Oprah Winfrey Endowed Scholarships Program kepada pelajar tahun pertama di Morehouse College yang cemerland dan memerlukan. Bagi melayakkan diri sebagai pemohon, pelajar perlu melakukan program komuniti servis dan menepati gred lepasan GPA/SAT yang ditetapkan.

*

Ingin sekali REMAJA melihat budaya yang saya diwujudkan di Malaysia dalam kalangan penggiat seni tanah air. Alangkah menarik jika lebih ramai dapat menyumbang semula ke arah pembinaan generasi baharu dalam bidang akademik. Mungkin ia akan berlaku tidak lama lagi, mana tahu kan?

BACA LAGI : Pelajar UM Disara Dengan Duit Pencen Jadi Sebahagian 104 Penerima Biasiswa Khazanah – REMAJA

Sumber : (1) (2)

Published by
FZ