Isu menghina fizikal orang lain seakan sudah menjadi satu mainan bagi sesetengah orang lain dan lebih jelas dengan zaman teknologi hari ini. Asal tidak berpuas hati, kita akan menyebut nama individu dengan niat memalukan individu tersebut.
Gemuk, hitam dan lain-lain gelaran adalah sesuatu gelaran yang patut kita hentikan kerana tanpa sedar kita mengheret diri ke penjara jika ada laporan dibuat.
Masa yang sama, sanggupkah kita memikul beban di dunia dan akhirat kerana telah memalukan individu tersebut? Apa yang pasti, bagi yang mungkin belum sedar, hentikan body shaming kerana ia salah di sisi undang-undang dan korang boleh di penjara.
Mungkin ramai di antara kita yang masih tidak tahu bahawa perbuatan ‘body shaming’ atau mempersendakan bentuk tubuh fizikal seseorang adalah satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang Malaysia.
Untuk makluman semua, ‘Body shaming’ telah diklasifikasikan sebagai jenayah buli siber dan mangsa yang terkena perbuatan ini boleh membuat laporan polis atau kepada SKMM.
Mengikut Seksyen 233 (1) (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) , jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Antara kesan-kesan buruk yang boleh terjadi kepada mangsa perbuatan tidak bermoral ini adalah, stress dan gangguan emosi, hilang keyakinan diri, kecelaruan pemakanan, kemurungan, dan kes bunuh diri.
Memetik artikel di Sinar Harian, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, berdasarkan peruntukan undang-undang, pelaku juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya kerana perkataan atau isyarat yang dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang.
Menurut Kamal Affandi, adalah penting bagi mangsa mengetahui hak mereka dengan membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa.
“Mangsa body shaming yang berasa diri dimalukan boleh membuat laporan dan siasatan akan dijalankan. Sekiranya didapati benar-benar berlaku maka tindakan boleh diambil terhadap si pelaku,” katanya
Setiap tubuh manusia adalah berbeza-beza. Menghina fizikal orang lain sama seperti kita menghina ciptaan Allah SWT. Beringatlah sebelum kita mengeluarkan kata-kata biarpun niat kita hanya sekadar untuk bergurau. Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia